Ngeh Koo Ham
Koo Ham ketika meninjau lokasi kejadian.
IPOH – Insiden kenderaan JPJ dibakar mendapat reaksi Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut berada di lokasi kemalangan dan berasa simpati dengan kejadian yang menimpa 25 mangsa kemalangan.

Beliau turut mengemas kini kejadian itu menerusi laman Twitternya dan menyelar tindakan JPJ melanggar penghadang jalan untuk melaksanakan penguatkuasaan.

Menurutnya, tindakan drastik itu mengundang padah apabila ia membahayakan pengguna jalan raya di jalan utama berhampiran sekolah.

“Orang ramai membakar kenderaan jabatan itu kerana geram berikutan tindakan penguat kuasa melanggar undang-undang untuk memintas kenderaan lain.

“Iktibar daripada kejadian ini, JPJ perlu mengkaji semula operasi mereka yang sering menjadikan pemandu lori sebagai sasaran mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan reaksi dari pada JPJ gagal apabila pihak mereka memaklumkan akan menghubungi semula Sinar Harian Perak selepas mendapat laporan penuh mengenai kejadian itu.

Namun, setakat jam 7 malam, Sinar Harian tidak menerima panggilan daripada JPJ selepas meninggalkan nombor telefon ketua wartawan.