Saturday, January 12, 2013

Polis diarah turunkan berat badan



Anggota polis yang memiliki berat badan berlebihan diarah mengikuti program penurunan berat badan di Pekanbaru, Riau baru-baru ini.
RIAU - Lebih daripada 275 anggota polis di Pekanbaru, Riau, Sumatera yang memiliki berat badan berlebihan diarah mengikuti program penurunan berat badan (PBB).
Dalam program PBB tersebut, anggota polis diarahkan bersukan di bawah terik matahari untuk membentuk tubuh yang ideal.
Ketua Polis Pekanbaru, Adang Ginanjar berkata, mereka yang mengikuti program PBB terbahagi kepada tiga kategori iaitu berumur 50 tahun ke atas dengan rekod kesihatan kurang baik, berusia 50 tahun ke atas dengan tubuh sihat dan berusia di bawah 50 tahun dengan berat badan berlebihan.
Beliau bagaimanapun berkata, untuk kategori pertama iaitu berumur 50 tahun ke atas dengan rekod kesihatan kurang baik tidak ada di Pekanbaru.
"Semua anggota polis yang mengikuti program ini sihat, mereka hanya memiliki berat badan berlebihan," katanya yang dipetik daripada ANTARA.
Adang berkata, polis gemuk yang berumur 50 tahun ke atas akan diarahkan berjalan dan berlari-lari anak melalui Jalan Ahmad Yani, Jalan Cokro Aminoto, Jalan Sam Ratu Langi sebelum pulang ke balai polis Pekanbaru.
"Bagi mereka yang berumur 50 tahun ke bawah pula, mereka perlu berlari melalui Jalan Ahmad Yani, Jalan Cut Nyak Dien, Jalan Sudirman, Jalan Sam Ratu Langi sebelum pulang ke balai polis Pekanbaru," ujarnya.
Menurut Adang, program PBB itu dilaksanakan dua kali seminggu iaitu pada hari Sabtu dan Selasa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_11/Polis-diarah-turunkan-berat-badan#ixzz2Hm6dsE00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment