Saturday, January 12, 2013

Perancis buru pembunuh aktivis Kurdis



PARIS 11 Jan. - Polis Perancis, hari ini melancarkan gerakan memburu pembunuh yang bertanggungjawab menembak mati tiga aktivis wanita Kurdis di sini ketika Turki menuduh kumpulan pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Sumber mahkamah menyatakan tiga aktivis berkenaan, termasuk seorang anggota pengasas PKK, Sakine Cansiz, ditembak sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali di kepala.
Laporan bedah siasat menunjukkan seorang daripada mangsa ditembak sebanyak empat kali di kepala dan dua lagi mangsa ditembak sebanyak tiga kali di bahagian yang sama.
Ketiga-tiga mangsa terbabit ditemui mati di Pusat Maklumat Kurdistan di Paris, semalam dan kali terakhir dilihat di pusat berkenaan tengah hari, kelmarin.
Pembunuhan tersebut berlaku ketika media Turki melaporkan Ankara dan kepimpinan PKK bersetuju untuk berunding bagi menamatkan pemberontakan selama hampir 30 tahun di negara itu.
Militan PKK yang bangkit memberontak sejak 1984 bagi menuntut kemerdekaan wilayah Kurdis daripada Turki, dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Ankara dan kebanyakan komuniti antarabangsa.
Pakar berpendapat, pembunuhan itu mempunyai beberapa motif, termasuk serangan oleh ekstremis Turki dan pergolakan dalaman PKK.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa, pembunuhan itu mungkin bertujuan mengganggu proses rundingan damai antara Ankara dengan pemimpin PKK yang menjalani hukuman penjara, Abdullah Ocalan.
Seorang daripada mangsa pembunuhan, Cansiz yang juga bekas gerila militan tersebut, merupakan sekutu rapat Ocalan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_06/Perancis-buru-pembunuh-aktivis-Kurdis#ixzz2Hm7OsHd7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment