Tuesday, January 15, 2013

Komander perlu lebih agresif



Pasukan Keselamatan India mengadakan rondaan di sempadan India-Pakistan kira-kira 27 kilometer dari Wagah, kelmarin. Dua tentera India dibunuh oleh tentera Pakistan dalam insiden serangan pada 8 Januari lalu. - AFP
NEW DELHI 14 Jan. - Ketua Turus Angkatan Tentera India, Jeneral Bikram Singh mengarahkan komander tentera memberi maklum balas 'agresif' terhadap sebarang serangan daripada tentera Pakistan di sempadan Kashmir.
Singh berkata, pihaknya menjangka komander-komander India bersikap agresif dalam hal itu.
''Arahan itu sangat jelas, apabila timbulnya provokasi, saya jangka komander saya akan membalas tembakan,'' katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum mengadakan pertemuan antara komander India dan Pakistan bagi membincangkan peningkatan pertempuran antara kedua-dua pihak di wilayah ini, baru-baru ini.
India berkata, seorang askarnya disembelih dan seorang lagi askar dibunuh oleh tentera Pakistan dalam insiden pada 8 Januari lalu yang mengancam proses rundingan damai antara kedua-dua negara.
Pakistan menafikan perkara itu dan menyatakan bahawa dua askarnya juga dibunuh dalam tempoh lapan hari lalu di sekitar Garisan Kawalan (LoC) di mana gencatan senjata itu dilaksanakan sejak 2003.
Singh berkata, tindakan ke atas askar India itu tidak boleh dimaafkan.
''Kami mahu tentera Pakistan mengembalikan kepala askar yang disembelih itu secepat mungkin.
''Kami mahu meneruskan proses dialog dan mencari cara terbaik untuk berkomunikasi dengan Pakistan, tetapi serangan ini mesti dihentikan,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130115/lu_05/Komander-perlu-lebih-agresif#ixzz2I3VpqmOg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment