Thursday, January 24, 2013

Luaskan pencarian sehingga Gurun Sahara



Gambar bertarikh 16 Januari diambil oleh seorang tebusan ketika pemberontak mengarahkan mereka meninggalkan asrama di Kompleks Minyak dan Gas di In Amenas, Algeria. - REUTERS
IN AMENAS, Algeria 23 Jan. - Pihak berkuasa Algeria memperluaskan skop kawasan bagi mencari lima warga asing yang hilang, beberapa hari selepas krisis tebusan di Kompleks Minyak dan Gas di sini tamat.
Seorang pegawai Algeria berkata, pihak berkuasa kini mencari mangsa yang masih hilang di Gurun Sahara.
''Persoalan yang timbul adakah mereka (mangsa) sudah mati? Adakah mereka cuba melarikan diri dari kompleks itu selepas serbuan tentera? Adakah mereka sesat di gurun selepas tersalah jalan,'' kata seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri Algeria yang enggan dikenali.
Sumber keselamatan berkata, pihak berkuasa juga cuba mengenal pasti tujuh mayat yang terbakar teruk dalam kejadian tersebut.
''Tiada berita baharu mengenai lima warga asing yang masih hilang,'' kata sumber itu kepada AFP semalam.
Seorang pegawai di kilang pemprosesan gas tersebut berkata, kompleks itu terlalu besar dan mereka masih dalam proses mencari mayat terutama warga asing yang masih hilang.
Tentera Algeria melancarkan serbuan ke atas kompleks tersebut bagi membebaskan tebusan yang ditahan oleh kumpulan militan pada hujung minggu lalu.
Sebanyak 37 warga asing dari lapan negara dan seorang rakyat tempatan terbunuh dalam krisis tebusan tersebut.
Perdana Menteri Algeria, Abdelmalik Sellal ketika mengumumkan angka kematian itu tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa berkenaan dan lima orang lagi masih hilang.
Sebuah pesawat membawa pakar dari Norway tiba di Algiers semalam bagi membantu mengenal pasti mangsa.
Dalam pada itu, di bilik mayat hospital di bandar berdekatan, hanya mayat 29 anggota militan masih di sana.
Sebanyak tiga anggota militan dilaporkan ditangkap dalam serbuan tentera Algeria ke atas kompleks tersebut.
Sumber keselamatan berkata, tiga anggota militan yang berjaya ditangkap merupakan dua warga Algeria dan seorang rakyat Tunisia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130124/lu_06/Luaskan-pencarian-sehingga-Gurun-Sahara#ixzz2IrkjYIU8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment