Thursday, January 24, 2013

Rumah Gaddafi musnah



BAMAKO 23 Jan. - Serangan udara tentera Perancis di bandar Timbuktu, Mali memusnahkan sebuah rumah agam milik bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang digunakan oleh kumpulan militan sebagai ibu pejabat mereka.
Pesawat pejuang Perancis mengebom pangkalan utama al-Qaeda di Maghreb (AQIM) berhampiran Timbuktu, menurut seorang pegawai Kementerian Perancis yang enggan dikenali, semalam.
Menurutnya, serbuan terakhir dilancarkan pada malam Ahad lalu.
"Dalam pengeboman itu, beberapa anggota militan maut, manakala rumah agam itu musnah," kata satu sumber keselamatan Mali sambil menambah tidak ada orang awam yang terbunuh.
Seorang penduduk tempatan pula berkata, tiga atau empat lagi kawasan yang menempatkan kumpulan militan turut dibedil.
Seorang lagi pegawai tempatan, Mohamed Ould Lemine memberitahu, serangan itu menyebabkan kediaman Gaddafi terbakar, sekali gus memusnahkan bekalan minyak dan senjata kumpulan militan.
Timbuktu yang terletak kira-kira 900 kilometer dari ibu negara Mali, Bamako terkenal sebagai sebuah bandar legenda, tetapi kini menjadi medan peperangan selepas dijadikan pangkalan oleh kumpulan militan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130124/lu_05/Rumah-Gaddafi-musnah#ixzz2Irk0STqG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment