Friday, January 25, 2013

Pyongyang 'naik angin'



Gambar fail yang diambil Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada 12 Disember 2012 menunjukkan roket Unha-3 Korea Utara yang membawa satelit Kwangmyongsong-3 semasa dilancarkan dari tapak pelancarannya di daerah Cholsan, wilayah Utara Pyongan di Korea Utara. - AFP
SEOUL 24 Jan. - Korea Utara yang berang dengan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini mengumumkan untuk melancarkan satu ujian nuklear dan lebih banyak lagi pelancaran roket.
"Kami tidak menyembunyikan bahawa beberapa satelit dan roket jarak jauh akan terus dilancarkan, selain ujian nuklear 'tahap tinggi' yang disasarkan kepada Amerika Syarikat (AS)," kata Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara.
Pengumuman pelancaran ujian nuklear yang bakal menjadi ujian ketiga Pyongyang itu dibuat pada akhir kenyataan suruhanjaya itu yang dipetik oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Kenyataan itu berjudul 'Memasuki konfrontasi habis-habisan untuk melindungi kedaulatan negara dan rakyat'.
Namun kenyataan itu tidak memberikan tarikh ujian tersebut atau menerangkan maksud 'tahap tinggi'.
Korea Utara sebelum ini telah melancarkan dua ujian peluru berpandu iaitu pada 2006 dan 2009.
Kebanyakan kenyataan itu mengecam pengumuman Majlis Keselamatan PBB kelmarin yang meningkatkan sekatan ke atas Pyongyang sebagai reaksi kepada pelancaran roket jarak jauh oleh negara komunis itu pada bulan lalu.
Resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 15 negara anggota Majlis Keselamatan, termasuk sekutu kuat Korea Utara, China.
Kementerian Luar Pyongyang turut mengecam tindakan itu semalam dan memberi petunjuk pertama bahawa negara itu akan melancarkan ujian nuklear.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik sumber perisikan Seoul melaporkan, Korea Utara telah selesai membuat persedian teknikal dan boleh melancarkan ujian itu dalam tempoh beberapa hari lagi bagi menunggu keputusan pemimpin Kim Jong-un. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130125/lu_01/Pyongyang-naik-angin#ixzz2IwdhCSr4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment