Friday, January 25, 2013

Wanita mudah dapat kanser



WASHINGTON 24 Jan. - Perokok wanita berisiko tinggi menderita kanser paru-paru dan lain-lain penyakit berkaitan penggunaan tembakau berbanding sebelum ini, menurut satu penyelidikan oleh Jurnal Perubatan New England (NEJM).
Penyelidikan yang diketuai Michael Thun, yang merupakan bekas Naib Presiden Emeritus Persatuan Kanser Amerika, dilakukan dalam kalangan 2.2 juta wanita berumur 55 tahun ke atas.
Kajian itu mendapati, kematian meningkat di kalangan perokok wanita dekad ini akibat kanser paru-paru, penyakit halangan paru-paru kronik dan lain-lain penyakit berkaitan.
Menurut kajian yang disiarkan semalam, perokok wanita pada 1960-an mempunyai 2.7 risiko mendapat kanser paru-paru berbanding mereka yang tidak merokok.
Namun, dalam kalangan perokok wanita beberapa dekad akhir-akhir ini, risikonya meningkat 25.7 kali lebih tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.
Penyelidik mendapati peningkatan risiko akibat merokok menjadi petanda membimbangkan walaupun terdapat kemajuan dalam bidang perubatan yang berupaya memanjangkan tempoh hayat penduduk dunia sejak setengah abad lalu.
"Amat membimbangkan apabila peningkatan melampau kalangan perokok wanita berterusan sejak beberapa dekad kebelakangan ini walaupun bukti menunjukkan perbuatan itu sangat berisiko terhadap kesihatan," kata Thun.
Beliau berkata, kewujudan lebih banyak jenama rokok bagi variasi yang didakwa 'ringan' untuk pasaran perokok wanita juga merupakan antara sebab peningkatan masalah tersebut.
Menurutnya, asap rokok jenis itu disedut terus ke dalam paru-paru perokok bagi mengekalkan penyerapan nikotin.
Kajian mendapati, perokok akan hilang secara purata 10 tahun jangka hayat mereka berbanding dengan mereka yang tidak merokok.
Satu lagi petunjuk positif kajian itu adalah perokok yang berhenti merokok tanpa mengira usia, akan mengurangkan kadar kematian berpunca daripada penyakit berkaitan rokok secara mendadak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130125/lu_05/Wanita-mudah-dapat-kanser#ixzz2IweLeKk9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment