Wednesday, February 6, 2013

Lelaki Mesir dakwa dipukul polis



Imej daripada rakaman video menunjukkan Hamada Saber dipukul dan dipaksa berbogel oleh pihak keselamatan Mesir di Kaherah pada bulan lalu. - AGENSI
KAHERAH 4 Feb. - Seorang lelaki yang dipukul dan dipaksa berbogel ketika tunjuk perasaan di Mesir pada bulan lalu memberitahu pendakwa awam bahawa polis anti-rusuhan bertanggungjawab dalam insiden tersebut, menarik balik kenyataan awalnya yang menuduh penunjuk perasaan terbabit.
Rakaman video menunjukkan Hamada Saber, 48, dipukul dengan belantan oleh polis, mengundang kemarahan pembangkang yang menuduh Presiden Mohamed Mursi mengarahkan polis menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Kerajaan Mesir kemudian mengumumkan untuk menyiasat insiden itu, yang berlaku pada hari kelapan dan terakhir tunjuk perasaan ganas yang menyaksikan hampir 60 orang terbunuh di seluruh Mesir, rusuhan paling buruk sejak Mursi mengemudi pentadbiran negara ini lebih tujuh bulan lalu.
Agensi berita MENA semalam melaporkan, Saber mengubah kenyataan awalnya ketika siasatan, selepas dia bebas daripada kawalan polis.
Televisyen tempatan sebelum ini menayangkan rakaman Saber yang tidur di atas katil di hospital polis, dengan mendakwa insiden itu dilakukan oleh penunjuk perasaan yang cuba merompak dan membogelkannya.
Bagaimanapun, satu lagi rakaman jelas menunjukkan dia dipukul polis dengan belantan dan dipaksa berbogel di sepanjang jalan. - reuters
Saber mendakwa dia melihat orang ramai berlari ketika kejadian dan tiba-tiba terasa kakinya ditembak.
"Saya terjatuh dan tidak boleh bangun. Mereka (penunjuk perasaan) mengelilingi saya dan cuba menyerang saya. Namun, seorang daripada mereka menjerit dan berkata saya bukan tentera dan hanya orang biasa.
"Kemudian tentera datang kepada saya. Saya rasa takut namun mereka berkata mereka tidak akan memukul saya. Mereka hanya berlari dan dipaksa melakukan begitu," katanya.
Pejabat pendakwa Mesir sebelum ini mengeluarkan kenyataan menyatakan Saber menafikan polis memukulnya.
Kenyataan itu mengundang kemarahan pembangkang yang mendakwa pihak berkuasa cuba menakutkannya bagi melindungi polis dalam insiden itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_06/Lelaki-Mesir-dakwa-dipukul-polis#ixzz2K8QUadSy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment