Wednesday, February 6, 2013

Pertempuran sengit di Aleppo



Sebuah kereta rosak teruk dan runtuhan bangunan di kawasan kediaman Al-Ansari dekat Aleppo selepas pesawat udara Syria melancarkan peluru berpandu ke atas kawasan kediaman itu pada 3 Februari lalu. - REUTERS
BEIRUT 5 Feb. - Pertempuran sengit tercetus antara tentera Syria dan pemberontak di bandar Aleppo, hari ini, ketika pergolakan di wilayah utara Syria semakin meruncing sejak enam bulan lalu.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, tentera menggunakan kereta kebal membedil dua bandar dikuasai pemberontak di Al-Bab dan Sfeira, pinggir Aleppo.
"Pertempuran berlaku awal pagi ini berdekatan berek tentera Mahlab di Aleppo.
Kedua-dua pihak mencatat kemalangan jiwa," kata pertubuhan itu, namun tidak memberi maklumat lanjut.
Pertempuran berlaku sehari selepas tentera Syria berjaya menawan bandar Khanasser, timur Aleppo, daripada pemberontak, menurut penduduk di situ.
"Tentera mengambil alih Khanasser selepas pesawat pejuang dan kereta kebalnya membedil kawasan itu," kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Dalam pada itu, pemimpin pembangkang Syria, Moaz Alkhatib mendesak kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad mengadakan rundingan bagi menyelamatkan Syria daripada kemusnahan selepas hampir dua tahun pertumpahan darah tercetus.
Alkhatib berkata, beliau bersedia bertemu dengan naib presiden Syria, Farouq al-Shara.
"Saya meminta kerajaan menghantar Al-Shara, sekiranya Assad menerima idea ini dan kami boleh berbincang,'' kata beliau selepas pertemuan dengan pegawai kanan Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan Iran di sini.
Al-Shara dilihat menjauhkan dirinya daripada Assad, sejak konflik tercetus di Syria pada 2011.
Alkhatib berkata, kuasa asing tidak mampu memulihkan konflik selama 22 bulan di Syria dan semuanya bergantung kepada kerajaan Assad dan juga pemberontak bagi menyelesaikannya. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130206/lu_01/Pertempuran-sengit-di-Aleppo#ixzz2K8R8bgaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment