Wednesday, February 6, 2013

Tentera bom bandar Aleppo, 16 maut



DAMSYIK 4 Feb. - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, apabila tentera Syria mengebom sebuah bangunan di kawasan yang dikuasai pemberontak di bandar Aleppo, menurut aktivis hari ini.
Menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, mangsa yang maut dalam serangan di daerah Ansari itu termasuklah 10 kanak-kanak.
Pusat Media Aleppo, rangkaian aktivis anti-kerajaan di bandar itu pula melaporkan, 20 orang terkorban dalam serangan di timur Ansari itu.
Rakaman video amatur menunjukkan bangunan itu musnah dan berpuluh-puluh orang menggali runtuhan bangunan untuk mencari mereka yang masih selamat.
"Satu keluarga seramai tiga orang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan," kata seorang lelaki di tempat kejadian.
Di selatan Syria pula, tentera membedil bandar Daraa menyebabkan sekurang-kurangnya seorang pemberontak terbunuh, selain mengebom bandar Kahil, Saida dan Tel Shehab mengakibatkan ramai orang cedera.
Agensi berita SANA pula melaporkan, seorang bekas anggota Parlimen bersama isteri dan dua anak perempuannya dibunuh berhampiran lapangan terbang Aleppo.
Insiden berlaku, selepas pemberontak berjaya menawan kawasan kediaman strategik di Sheik Said pada Sabtu lalu, kawasan yang terletak antara selatan dan timur Aleppo, yang menjadi tamparan besar kepada tentera kerana kawasan itu merupakan laluan mereka untuk menyalurkan bekalan.
Sementara itu, Turki hari ini berikrar untuk terus menyokong pemberontak Syria sambil menyatakan bahawa pemimpin kumpulan itu tidak sepatutnya didesak berunding dengan Presiden Bashar al-Assad ketika perang saudara masih berleluasa.
Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu pada sidang keselamatan di Jerman. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_03/Tentera-bom-bandar-Aleppo-16-maut#ixzz2K8OoOSMU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment