Kaherah: Pihak berkuasa Mesir semalam menahan seorang anggota kumpulan militan Blok Hitam yang disyaki merancang melancarkan sabotaj atas arahan Israel.
Agensi berita Mena melaporkan, anggota militan itu ditangkap dalam bangunan berhampiran Dataran Tahrir bersama-sama pelan menyerang syarikat minyak dan kawasan penting, peta tempat yang hendak diserang serta arahan membakar beberapa tempat lain.
Israel menafikan terbabit dalam rancangan itu.
“Pihak pendakwa raya keselamatan Mesir mula menyoal siasat suspek berkenaan yang dituduh menganggotai pertubuhan haram dan merancang mensabotaj syarikat dan tempat awam. Suspek mengaku menganggotai Blok Hitam, kumpulan militan bertopeng yang muncul di kalangan penunjuk perasaan dalam pertempuran dengan polis baru-baru ini.
“Dia dikesan oleh pengawal keselamatan di sebuah bangunan kediaman berhampiran Dataran Tahrir dan diserahkan kepada polis,” lapor Mena. Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor berkata, dia tidak tahu menahu mengenai rancangan kumpulan berkenaan tetapi berkata, dakwaan pembabitan rejim Zionis itu adalah karut. Dalam perkembangan lain, seorang lagi anggota Blok Hitam ditangkap selepas menempah topeng dan pakaian hitam dari sebuah syarikat pembuat pakaian di Mahalla, utara Kaherah. - AFP
No comments:
Post a Comment