Saturday, February 2, 2013

Syria ancam balas dendam



DAMSYIK 1 Feb. - Syria mengancam untuk membalas apa yang disifatkannya sebagai serangan udara Israel ketika sekutu-sekutu Damsyik dengan pantas mengutuk serangan itu yang mengancam konflik di negara ini tersebar ke luar.
Namun, Israel terus berdiam berhubung dakwaan Syria itu, selain beberapa laporan lain yang menyatakan jet rejim Zionis mengebom satu konvoi senjata berhampiran sempadan Lebanon.
Kementerian Luar Syria berkata, Israel dan 'negara-negara yang melindunginya' bertanggungjawab atas serangan udara itu serta 'menegaskan hak negara ini untuk mempertahankan kedaulatan dan wilayahnya', lapor agensi berita SANA semalam.
Kementerian itu turut mengesa 'semua badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah terhadap pencabulan serius oleh Israel itu dan menjamin supaya perbuatan itu tidak berulang'.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyuarakan 'kebimbangan serius' dan menggesa semua pihak 'menghalang ketegangan menjadi semakin buruk di rantau itu'.
Beliau menggesa semua pihak 'mematuhi undang-undang antarabangsa, terutamanya dalam menghormati kedaulatan dan integriti wilayah' semua negara di rantau itu, menurut Timbalan Jurucakap PBB, Eduardo del Buey.
Duta Syria ke Lebanon, Ali Abdel Karim Ali menegaskan, Syria mempunyai hak untuk membalas tindakan rejim Zionis itu.
"Israel, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara sekutu Arab mereka yang menjadi dalang di sebalik serangan itu perlu sedar bahawa Syria akan bertindak balas terhadap serangan itu.
"Kini terpulang kepada barisan pemimpin yang berkuasa untuk memutuskan jawapannya dan menentukan lokasi serta maksudnya," kata Ali kepada laman web Lebanon, al-Ahad.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian memberi amaran serangan rejim Zionis itu akan memberi akibat buruk kepada Tel Aviv, lapor agensi berita ISNA.
Kementerian Luar Rusia pula melahirkan kebimbangan dengan insiden itu, tetapi masih cuba mengesahkan dakwaan Syria itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130202/lu_08/Syria-ancam-balas-dendam#ixzz2JkVfiwrI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment