Saturday, March 23, 2013

30 terbunuh, 200 cedera kem pelarian terbakar di utara Thailand



BANGKOK 23 Mac - Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera apabila sebuah kem pelarian yang menempatkan rakyat Myanmar terbakar di utara Thailand, petang semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan di kem Mae Surin di wilayah Mae Hong Son dan hanya dapat dipadamkan sepenuhnya dua jam kemudian.
"Kebakaran itu memusnahkan sebanyak 100 buah rumah sementara. Terdapat 30 orang terbunuh dan banyak lagi yang cedera," kata seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Thailand.
Kejadian yang memusnahkan kem yang menjadi tempat tinggal kira-kira 3,700 pelarian Myanmar dipercayai berpunca akibat aktiviti memasak.
"Kebanyakan yang terbunuh merupakan wanita, warga emas dan kanak-kanak. Kira-kira 200 mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital,’" kata seorang pegawai perisikan kanan kebangsaan.
Menteri Dalam Negeri Tahiland, Jarupong Ruaengsuwan dalam pada itu memberitahu AFP bahawa kerajaan akan menyiasat punca kebakaran itu.
"Saya kesal akan kejadian ini dan ramai orang yang terkorban. Sepatutnya mangsa yang terbunuh tidaklah seramai ini, oleh itu saya akan menyiasat punca kebakaran itu," katanya.
Sebanyak 10 khemah dibina di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar dengan menempatkan kira-kira 136,000 pelarian yang mula menetap di situ sekitar 1980-an. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130323/lu_04/30-terbunuh-200-cedera-kem-pelarian-terbakar-di-utara-Thailand#ixzz2OL9Ocwwr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment