Saturday, March 23, 2013

Sedia perang Hizbullah



Di sebuah padang berdebu di selatan padang pasir di Israel, pasukan tentera rejim Zionis membuat persediaan berperang menghadapi musuh biasa mereka, gerila Hizbullah di Lubnan.

Ketika perang saudara di Syria semakin sengit, perancang tentera semakin gelisah jika konflik itu merebak ke Israel dan berpotensi mengheret kumpulan pejuang Islam Lubnan itu yang memang bersekutu dengan Presiden Bashar al-Assad.


Selepas berperang dengan Hizbullah pada 2006, tentera Israel berkata, mereka memperoleh pengajaran penting dan bersedia menyebabkan kemusnahan lebih dahsyat ke atas kumpulan berkenaan jika mereka bersengketa lagi. Sempadan Israel - Lubnan masih lengang sejak perang dulu berakhir. Namun, Hizbullah menambah kekuatan senjatanya dan membayangi perang terhadap Israel di seluruh dunia.

Kejatuhan Bashar atau serangan terhadap satu lagi sekutu Hizbullah, Iran mungkin mencetuskan perang besar-besaran terbaru. Komander kanan tentera Israel berkata, ketegangan semakin dirasakan akibat isu Syria.


Pada 2006 serangan udara Israel selama berminggu-minggu membunuh lebih 1,000 orang termasuk pejuang Hizbullah serta memusnahkan kemudahan infrastruktur utama mereka.


Bagaimanapun, serangan itu gagal menghalang Hizbullah daripada melancarkan kira-kira 4,000 roket ke Israel dan perang itu berakhir melalui perjanjian diusahakan PBB. Ketika sebahagian besar perjanjian itu masih bertahan, Israel berkata, Hizbullah menambah bilangan simpanan senjatanya secara sistematik.

Antara kekuatan mereka kini ialah puluhan ribu roket dan misil lebih berkuasa dan mampu mengenai mana-mana sasaran di Israel.


Beberapa pegawai tentera berkata, perang Israel dengan Hizbullah hanya menunggu masa untuk meletus.

No comments:

Post a Comment