Saturday, March 23, 2013

Tiga menteri Australia letak jawatan



CANBERRA - Tiga orang menteri Australia meletak jawatan semalam, sekali gus menunjukkan bahawa krisis pentadbiran Perdana Menteri Australia, Julia Gillard kian meruncing, enam bulan sebelum negara itu bakal mengadakan pilihan raya umumnya.
Menteri-menteri tersebut iaitu Chris Bowen, Martin Ferguson dan Kim Carr melepaskan portfolio masing-masing untuk menyokong pesaing Gillard yang juga bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd.
Setakat ini, sudah lima orang menteri telah meletak jawatan atau dipecat oleh Gillard berikutan timbul usaha untuk kembali melantik Rudd sebagai perdana menteri.
Peletakan jawatan menteri-menteri berpengalaman itu nyata memburukkan lagi reputasi kerajaan pimpinan Parti Buruh yang dilihat semakin tidak stabil.
Rudd bagaimanapun mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan bahawa beliau tidak akan mencabar Gillard.
"Tidak wujud tanda-tanda bahawa Rudd akan kembali menjadi pemimpin Parti buruh pada masa depan," jelas satu kenyataan daripada pejabat Rudd.
Rudd memberitahu, beliau enggan bertanding kerana tidak mempunyai sokongan majoriti yang jelas. "Tidak ada gunanya mewarisi parti yang berpecah-belah," kata Rudd.
Bowen dan Carr bersetuju dengan keputusan Rudd untuk tidak mencabar Gillard demi perpaduan Parti Buruh. Namun, Ferguson yang merupakan bekas Menteri Sumber dan Tenaga menegaskan Rudd perlu bertanding.
Gillard dijangka mengumumkan kabinet baharunya minggu depan. Beliau juga menyatakan rasa terkejut apabila Rudd enggan bertanding. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2OJGvjs8l 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment