Saturday, March 23, 2013

Lapan ditahan



Tiada senjata api ditemui daripada lapan lelaki di dalam sebuah bot laju dipercayai rakyat Filipina yang ditahan ketika cuba menceroboh masuk perairan Zon Merah berhampiran pantai Kampung Sungai Bilis di sini, awal pagi semalam, kecuali 300 tong minyak kosong dan wang tunai 369,000 peso (RM28,346.51).

Dalam kejadian jam 12.15 pagi itu, pasukan keselamatan yang mengepung perairan Zon Merah menyedari kehadiran sebuah bot laju lalu memintas dan menahan bot berkenaan.


Apabila diperiksa, ada lapan lelaki berusia antara 17 dan 28 tahun dalam bot berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui tong minyak kosong serta wang tunai berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya menyoal siasat semua lelaki terbabit bagi mengetahui tujuan mereka berada di perairan berkenaan.


“Tiada senjata api ditemui daripada mereka dan siasatan lanjut dijalankan,” katanya pada sidang media bersama Panglima Divisyen Pertama, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar di Felda Residence Sahabat, di sini petang semalam.


Menurutnya, semua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130 c (1) (a) dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) jika siasatan mendapati mereka terbabit dengan pengganas.

Mengenai Kampung Tanduo yang menjadi pusat Op Daulat, Hamza berkata, keadaan keselamatan di kampung berkenaan dan Sungai Nyamuk semakin baik serta tiada pertempuran berlaku dalam tempoh 48 jam lalu.


Beliau berkata, walaupun gerakan pembersihan dan penggeledahan dijalankan, namun bilangan anggota keselamatan yang melakukan operasi itu dikurangkan berikutan keadaan bertambah baik.

Bagaimanapun menurutnya, penduduk kampung belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN)menilai kerosakan yang berlaku akibat krisis pencerobohan pengganas itu.


“Orang ramai dinasihatkan tidak memasuki kawasan Zon Merah kerana pasukan keselamatan masih menjalankan tugas,” katanya.


Sementara itu, Mohd Zaki berkata pihaknya yang menjejaki saki-baki pengganas di kawasan Kampung Tanjung Batu menemui kesan menunjukkan kehadiran mereka di kawasan itu.


“Kami mendapati ada kesan saki-baki pengganas yang baru di kampung itu, tetapi setakat ini belum menemui mereka. Pertempuran juga tidak berlaku,” katanya.


Mengenai laporan pihak berkuasa Filipina menahan 35 pengganas yang melarikan diri dari Lahad Datu, Hamza berkata, terpulang kepada pihak berkuasa negara itu menangani kes itu kerana semua mereka adalah warga Filipina yang ditahan di perairan negara itu.


Beliau menegaskan perairan di kawasan Zon Merah dikawal ketat oleh pasukan keselamatan Malaysia.

No comments:

Post a Comment