Moscow: Polis menjalankan siasatan khas selepas ada laporan mendakwa, beberapa ambulans diubah suai dengan hiasan mewah untuk disewa tokoh tertentu yang ingin mengelak kesesakan lalu lintas.
Jurucakap polis berkata, pemeriksaan rawak akan dilakukan ke atas ambulans di Moscow ekoran beberapa syarikat mengiklankan “perkhidmatan teksi ambulans” dengan sewaan RM605 sejam di Internet.
Sumber berkata, pemandu kenderaan itu akan memasang siren kecemasan untuk melepasi kesesakan lalu lintas di bandar raya Moscow.
Ketika pengguna jalan raya memberi laluan kerana menyangka ambulans berkenaan membawa orang sakit, kenderaan itu sebenarnya mengangkut ahli perniagaan yang ingin pergi ke mana-mana lokasi dengan segera. Seorang sumber pihak berkuasa berkata, sebuah ambulans sudah dikenal pasti. “Pemandu itu nampak mencurigakan dan tidak kelihatan seperti pemandu ambulans.
“Ketika kenderaan itu diperiksa, polis mendapati bahagian dalamnya dihias seperti limosin untuk digunakan penumpang berkemampuan,” katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment