Tuesday, March 5, 2013

45 maut letupan bom di Karachi


45 maut letupan bom di Karachi
Orang ramai mengangkat mayat rentung dan cedera dalam kebakaran di bandar Abbas, Karachi, Pakistan.
KARACHI - Sebuah letupan bom kereta mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang ketika Pakistan sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya di kawasan penempatan Islam Syiah di Karachi, semalam.

Pegawai tertinggi Pakistan di Karachi, Hashim Raza Zaidi, berkata, letupan berkenaan berlaku pada awal pagi di pekarangan pangsapuri di bandar Abbas.

“Sisa api letupan menyambar pangsapuri berdekatan hingga menyebabkan letupan,” katanya.

Menurutnya, wanita dan kanak-kanak antara terbunuh dan cedera selepas  gagal mencari jalan keluar akibat api marak.

“Sekurang-kurangnya 45 maut manakala 150 lagi cedera. Jumlah kematian dijangka meningkat selepas mangsa cedera dalam keadaan kritikal dan parah,” katanya.

Beliau berkata, ratusan rumah dan kedai rosak teruk termasuk puluhan orang ramai dilihat meninggalkan masjid berhampiran bagi menyelamatkan diri ketika menunaikan solat subuh.

“Tiada siapa mengaku bertanggungjawab, tetapi kami percaya puak militan Sunni dikaitkan dengan Al Qaeda dan Taliban terbabit dalam perbuatan ini,” katanya.

Parlimen Pakistan bubar dua minggu lagi bagi memberi laluan kepada pilihan raya, namun keganasan membabitkan kaum dan perbezaan agama terus meningkat. - AFP

No comments:

Post a Comment