Tuesday, March 5, 2013

Kahwin untuk lindung harta

pix_gal0
Jakarta: Suruhanjaya Pembanteras Rasuah Indonesia, (KPK) mendapati perkahwinan ratu cantik Dipta Anindita dan ketua polis Djoko Susilo, 48, bertujuan untuk melindungi kekayaan haram yang dimiliki pegawai tinggi keselamatan.

Dipta, pemenang pertandingan Ratu Surakarta Putri Solo 2008, berusia 19 tahun ketika berkahwin dengan Djoko dan menerima mas kahwin berjumlah Rp 15 bilion (RM4.6 juta).
KPK sebelum itu merampas 11 rumah dimiliki Djoko yang ditahan atas dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram bernilai Rp 200 bilion (RM6.4 juta) melalui skandal yang berlaku ketika beliau mengetuai Jabatan Polis Trafik Kebangsaan (Korlantas).


Suruhanjaya itu merampas 11 rumah Djoko ada di antaranya mempunyai keluasan melebihi satu hektar persegi di Depok, Jawa Barat; Jakarta; Semarang dan Surakarta, Jawa Tengah dan Yogyakarta.

Djoko didakwa memiliki aset bernilai Rp 40 bilion (RM12.9 juta) di Surakarta saja, manakala jumlah keseluruhan aset beliau tidak diketahui.

Daftar nama lain

Semua rumah yang dibelinya, didaftarkan dengan beberapa nama saudaranya termasuk Dipta dan wanita lain yang disyaki adalah isteri beliau. Sebuah rumahnya di Surakarta didaftarkan kepada Dipta, manakala yang lain didaftarkan di bawah nama, Poppy Femialya, seorang rakan wanita.
KPK menyoal siasat Dipta dan Poppy sebagai saksi dalam kes berkenaan. Djoko didakwa menerima wang berkenaan hasil daripada sogokan untuk kedua-dua wanita terbabit. Beliau turut memberikan tujuh rumah mewah dan sebuah pangsapuri kepada Dipta.

Tidak diketahui bilangan isteri yang dimiliki Djoko. Selain Suratmi sebagai isteri pertamanya dan Dipta, beliau juga dilaporkan mengahwini seorang wanita lain dikenali sebagai Mahdiana.

Pakar penggubahan wang dan undang-undang jenayah, Yenti Garnasih dari Universiti Tirsakti berkata, beliau mengesyaki Djoko ‘melapis’ asetnya untuk mengelak dikesan.

Sukar jalankan siasatan

“Sukar untuk KPK menyiasat aset Djoko jika hak milik diserahkan kepada orang lain,” katanya kepada The Jakarta Post.

Yenti berkata bahawa suruhanjaya terbabit perlu mempercepatkan siasatan jika mahu mengetahuinya.

“Jika KPK terlalu berhati-hati dan perlahan, ia mungkin terlewat kerana akan semakin sukar untuk menjejaki ke mana wang terbabit pergi.”

Timbalan ketua KPK, Bambang Widjojanto yakin kebanyakan aset Djoko dibeli dengan wang yang diperolehnya secara haram.
Agensi

No comments:

Post a Comment