Tuesday, March 5, 2013

Karachi berkabung

Penduduk berhimpun di hadapan kediaman mereka yang rosak berhampiran lokasi serangan bom kereta di Karachi semalam.  - Foto AP
Penduduk berhimpun di hadapan kediaman mereka yang rosak berhampiran lokasi serangan bom kereta di Karachi semalam. - Foto AP Karachi: Bandaraya terbesar Pakistan, Karachi semalam berkabung berikutan kematian 45 orang yang terbunuh dalam letupan bom kereta di sebuah kejiranan Islam Syiah, kejadian terbaru dalam siri serangan memusnahkan menjelang pilihan raya umum.

Lalu lintas lengang
Lalu lintas kelihatan lengang berikutan institusi pendidikan, perniagaan dan pasar ditutup selepas kerajaan tempatan mengumumkan tempoh berkabung sehari dan tiga hari bagi kumpulan Syiah bagi mengingati mereka yang terbunuh dalam pengeboman di Abbas Town, kelmarin.


Bom berkenaan meletup ketika orang ramai keluar dari masjid, memusnahkan dua blok apartmen, menyebabkan kebakaran satu daripadanya dan memerangkap orang ramai dalam runtuhan. Mereka yang selamat ditempatkan sementara di sekolah.

Tiada pihak yang segera mengaku bertanggungjawab tetapi ia disyaki membabitkan pertubuhan pelampau Sunnah, Lashkar-e-Jhangvi, yang mendakwa melakukan serangan besar di bandaraya Quetta serta Taliban Pakistan.

Kumpulan hak asasi dan rakyat biasa mengkritik kerajaan kerana kegagalan menghentikan pembunuhan dan pengeboman dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Pengganas membunuh kita tetapi kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan menghapuskan mereka,” kata seorang penganut Syiah, Mohsin Ali, 29 yang kehilangan abangnya di dalam kejadian itu.
“Berapa lama lagi kita akan terus kehilangan anak-anak atau saudara mara?”

Cari barang peribadi

Mereka yang terselamat turut mencari barangan peribadi dan barangan lain seperti barangan kemas daripada runtuhan apartmen terbabit.

“Kerajaan perlu melengkapkan kita dengan senjata untuk berhadapan dengan pengganas jika agensinya tidak mampu untuk menangkap mereka,” kata seorang Sunnah, Azam Khan yang berkata beliau turut membawa beberapa mangsa yang maut ke hospital.

“Kami akan mengundi kepada mereka yang mampu menghapuskan pengganas ini. Kami tidak bersedia dengan slogan kosong lagi.”

Karachi sumber ekonomi utama Pakistan menyumbangkan 42 peratus daripada Kadar Dalam Negara Kasar, 70 peratus pulangan cukai pendapatan dan 62 peratus hasil cukai jualan.

Tetapi bandaraya terbabit dilanda keganasan puak, etnik dan politik sejat tahun lalu yang membunuh lebih 2,200 penduduk dan sering kali terpaksa ditutup.
AFP 

No comments:

Post a Comment