Tuesday, March 5, 2013

AS, Saudi beri Iran dan Syria amaran

RIYADH - Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi memberi amaran kepada Iran dan Syria agar tidak meneruskan cita-cita nuklear.

Selain itu kedua-dua negara tersebut memberi peringatan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad yang mereka akan mengambil tindakan segera terhadap Syria  kecuali jika beliau meletak jawatan.

Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam rangka lawatan rasminya sebagai diplomat Washington pertama ke Timur Tengah berkata, Presiden AS Barack Obama sendiri berikrar tidak akan membenarkan Iran mendapatkan senjata nuklear.

“Pihak kami telah menyediakan anggota tentera yang cukup kuat bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku. Jika Iran berniat untuk meneruskan usaha nuklear mereka, kami akan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau turut berkata, perbincangan secara diplomatik tidak dapat lagi memberi sebarang makna.

“Sebarang rundingan yang diadakan secara berterusan bakal menyebabkan keadaan bertukar menjadi lebih bahaya,” ujar beliau.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud al-Faisal turut berkongsi kebimbangan mengenai perkara ini dan turut bersetuju jika tindakan agrerif dikenakan terhadap Iran.

“Kami berharap rundingan ini akan meletakkan satu titik pengakhiran terhadap konflik nuklear ini. Rundingan ini juga tidak boleh diadakan selama-lamanya tanpa ada sebarang penyelesaian,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment