Tuesday, March 5, 2013

Pertempuran di Mali ragut 50 nyawa



Tentera Mali membuat pemeriksaan terhadap penumpang di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Gao, kelmarin. - REUTERS
BAMAKO 4 Mac - Pertempuran sengit di utara Mali mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 militan dan seorang tentera Perancis terbunuh, lapor pihak berkuasa semalam ketika Chad berjanji untuk membuktikan tenteranya membunuh dua pemimpin tertinggi kumpulan tersebut.
Seorang jurucakap ketenteraan Mali berkata, pertempuran sengit berterusan sehingga semalam berhampiran bandar Gao, ketika tentera yang dibantu Perancis cuba memburu kumpulan militan di daerah tersebut.
"Sekurang-kurang 50 militan Pergerakan Perpaduan dan Jihad di Afrika Barat (MUJAO) terbunuh dalam pertempuran sejak Jumaat lalu,'' katanya menambah, pertempuran di antara tentera dan militan semakin bertambah hebat sejak kebelakangan ini.
Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian dalam pada itu mengesahkan kematian seorang anggota tentera, Koperal Cedric Charenton yang terbunuh dalam pertempuran di utara Mali, kelmarin, kematian ketiga membabitkan askar negara itu.
Beliau pada masa yang sama meminta supaya lebih berwaspada tentang laporan Chad bahawa tentera mereka telah membunuh dalang serangan pusat pemprosesan gas di In Amenas, Algeria, Mokhtar Belmokhtar dan komander kumpulan militan Islamic Maghreb, Abdelhamid Abou Zeid, yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.
Sementara itu, ketika kerajaan asing sedang berusaha untuk mengesahkan kematian Belmokhtar dan Abou Zeid di daerah Sahel, Menteri Komunikasi Chad, Hassan Sylla berkata, kerajaannya 'tidak membuang masa' membuat pengumuman tersebut.
''Tidak lama lagi kami akan menunjukkan beberapa tahanan termasuk berpangkat leftenan yang ada bersama dengan pemimpin itu,'' katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, Le Drian sebaliknya memberi amaran bahawa khabar angin yang berulang-ulang setiap waktu tidak akan menjadi fakta. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130305/lu_03/Pertempuran-di-Mali-ragut-50-nyawa#ixzz2McoxOsMc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment