Saturday, March 16, 2013

Tian Chua didakwa menghasut



Tian Chua (tengah) diiring keluar oleh pegawai polis selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan empat kenyataan berunsur hasutan berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Mac - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO.
Dia yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat pada pukul 11.20 pagi.
Pendakwaan terhadap Tian Chua dibuat genap 14 hari selepas tertuduh membuat kenyataan tersebut kepada wartawan, Aisha Geoffry dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily pada 1 Mac lalu.
Menurut kertas pertuduhan, Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan:
* Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;
* Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;
* Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah;
* Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya.
Ketika ditanya apakah pengakuan terhadap pertuduhan itu, Tian Chua berkata: ''Ini dakwaan bermotifkan politik. Saya akan jawab fitnah ini untuk membersihkan nama saya.''
Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tian Chua yang diwakili enam peguam diketuai oleh N. Surendran dan Latheefa Koya memohon anak guamnya itu dibebaskan dengan jaminan bon tanpa penjamin dan tanpa sebarang cagaran wang.
Menurutnya, tertuduh telah memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dan kebarangkalian untuk dia melarikan diri adalah amat tipis.
Surendran mendakwa, pihak pendakwaan berkemungkinan tidak dapat membuktikan kes mereka kerana tiada merit dalam pertuduhan itu apatah lagi Perdana Menteri dalam kenyataannya pada 11 Julai 2012 telah memberi akujanji akan memansuhkan Akta Hasutan.
Sehubungan itu, Surendran menyifatkan, pendakwaan terhadap Tian Chua sebagai suatu tindakan yang tidak adil.
Katanya, pertuduhan itu bertentangan dengan Perkara 10(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran masing-masing.
Yusaini Amer pula berkata, tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh dan jumlah yang dicadangkan amat munasabah.
Bukti dan keterangan saksi-saksi menurut Yusaini Amer, akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan apabila mahkamah mendengar perbicaraan kelak.
Beliau berkata, adalah suatu tindakan yang pramatang untuk membuat penilaian berdasarkan pertuduhan semata-mata.
''Akta tersebut adalah sah dan sebarang pelanggaran mana-mana undang-undang yang masih berkuat kuasa merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa,'' kata Yusaini Amer.
Beliau berkata, meskipun Perkara 10(a) menyatakan mengenai kebebasan namun bukan bermaksud kebebasan mutlak kerana terdapat beberapa sekatan atau larangan demi menjamin ketenteraman awam.
Yusaini Amer menyifatkan hujahan Surendran tidak mempunyai merit dan memohon mahkamah menentukan jaminan kerana jumlah yang dicadangkan munasabah.
Ketika memutuskan perkara itu Mohamad Sekeri berkata: ''Akta Hasutan belum lagi dimansuhkan, masih terpakai dan berkuat kuasa. Oleh itu, mahkamah berpendapat, adalah pramatang untuk menentukan pertuduhan itu pada peringkat ini dan jaminan RM5,000, suatu jumlah yang munasabah.''
Surendran kemudian memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan secepat mungkin di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan tersebut atas alasan penyalahgunaan kuasa dan pendakwaan berunsurkan politik. Mahkamah menetapkan 12 April ini bagi sebutan semula kes itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130315/ma_01/Tian-Chua-didakwa-menghasut#ixzz2Ner6a8Nj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment