Saturday, March 16, 2013

Anwar: Saya tidak sanggup khianati negara seperti tuduhan Umno BN



BAGAN SERAI 16 Mac: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak terbabit dalam insiden serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
Menyelar tuduhan kononnya beliau dalang serangan itu, Anwar berkata beliau tidak tergamak mengkhianati negara sepertimana tuduhan pimpinan Umno Barisan Nasional.
“Saya dah beberapa kali beritahu tidak pernah terlibat dalam isu pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
“Saya juga tidak menuduh Umno terlibat dalam pencerobohan tersebut.
“Malah saya tidak akan pernah mengkhianati negara dan tidak sanggup untuk melakukan sedemikian, sepertimana tuduhan dibuat oleh Umno dan BN melalui media dan pimpinan mereka,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 orang yang membanjiri padang awam, Taman Serai Perdana, Bagan Serai, Perak semalam.
Anwar berkata, Umno-BN melabel beliau dengan pelbagai gelaran termasuk ‘agen yahudi, ‘agen Amerika’ dan terbaru, ‘agen pengganas Sulu’.
Beliau mengingatkan pemimpin Umno-BN agar mengimbas kembali sejarah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Tun Fatimah dan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang.
Menurut Anwar, sejarah berkenaan yang kemudian difilemkan, memberi mesej bahawa fitnah yang berlaku sejak dahulu hingga kini, boleh memudaratkan masyarakat dan negara.
Oleh itu, katanya dakwaan beliau mengkhianati negara adalah tuduhan palsu dan berniat jahat serta tidak harus dibiarkan.
Hadir sama dalam program ceramah Merdeka Rakyat tersebut Setiausa Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan, Dr Muhamad Nur Manuty, Pengerusi KEADILAN Perak serta Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

No comments:

Post a Comment