Saturday, March 16, 2013

Henti keganasan dulu!



Pihak berkuasa Thai akan menarik balik perintah darurat di selatan negara itu sekiranya ada keikhlasan di pihak pejuang untuk menghentikan keganasan.

“Kumpulan pejuang mendesak supaya undang-undang itu ditarik balik di tiga wilayah terbabit dan menggantikannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tetapi mereka perlu tunjukkan keikhlasan untuk menamatkan keganasan, sekurang-kurangnya selama setahun,” kata Panglima Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha, semalam.


Menurutnya, pihak tentera sudah menunjukkan kesungguhan dengan mengundurkan 6,000 anggota dari tiga wilayah itu.


Ketika ditanya mengenai sembilan kumpulan penentang yang mahu menyertai rundingan damai di Malaysia pada 28 Mac ini, Prayuth berkata, perhatian tidak boleh ditumpukan kepada kumpulan berkenaan kerana mereka tidak cekap untuk berunding. “Barisan Revolusi Nasional (BRN) perlu menguasai sembilan kumpulan itu dan memutuskan tindakan selanjutnya. Jika kita perlu berbincang dengan semua kumpulan itu, ia hanya membuang masa dan sia-sia.


“Mereka perlu bergabung. BRN perlu menunjukkan kemampuannya memimpin kerana kita akan berunding dengan seorang pemimpin sahaja,” katanya.


BRN menandatangani perjanjian persetujuan untuk mengadakan rundingan damai dengan pihak berkuasa Thai di Kuala Lumpur akhir bulan lalu. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment