Lahad Datu: Tiga lagi kubur yang setiap satu dipercayai mengandungi satu mayat, iaitu sebahagian daripada 15 pengganas yang mati ditembak pada 1 Mac lalu, ditemui berdekatan antara satu sama lain oleh pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, semalam.
Pertempuran pada hari berkenaan turut mengorbankan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mencederakan tiga anggota lain tetapi pasukan keselamatan dilapor berjaya menembak mati 12 pengganas. Empat hari kemudian Ops Daulat dilancarkan.
Bagaimanapun, ketika operasi penggeledahan dan pembersihan dilakukan, hanya sembilan mayat ditemui dalam satu lubang besar yang ditutup dengan papan.
Pemeriksaan seterusnya yang dilakukan kemudian menemui beberapa lagi kubur baru, termasuk tiga kubur ditemui semalam, menjadikan 15 mayat ditemui di Kampung Tanduo.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, semua mayat berkenaan dipercayai dikebumikan rakan pengganas secara tergesa-gesa. Menurutnya, dengan penemuan tiga lagi mayat semalam, jumlah pengganas yang ditembak mati sepanjang Ops Daulat yang masuk hari ke-11 semalam, kini 61 orang.
“Sehingga jam 5 petang semalam, 27 mayat sudah dibawa dibawa keluar dari kawasan operasi dan kami percaya ada 10 lagi mayat pengganas yang belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu. Semua mayat berkenaan didapati sudah reput," katanya.
Menurutnya, Malaysia memberi tempoh tiga hari kepada Filipina untuk menuntut mayat rakyatnya yang terbunuh dalam Ops Daulat, selepas mereka menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.
Hamza berkata, tempoh itu yang mematuhi kehendak Konvensyen Geneva, diberi melalui satu surat rasmi kepada Manila yang akan dikeluarkan selepas mayat pengganas selesai dibedah siasat.
“Jika tidak ada maklum balas dalam tempoh tiga hari, kita akan kebumikan mengikut cara yang sesuai. Kalau orang Islam ikut cara Islam,” katanya pada sidang akhbar, semalam.bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat, dekat sini, semalam.
No comments:
Post a Comment