Saturday, May 11, 2013

Filipina undur tentera dari Bukit Golan



Imej diambil daripada sedutan video yang dimuat naik di YouTube pada Rabu lalu, menunjukkan empat orang tentera Filipina yang diculik pemberontak Syria di lokasi yang tidak dinyatakan. - AFP
MANILA 10 Mei - Lebih 300 anggota tentera Filipina yang menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bukit Golan, akan dibawa keluar segera dari kawasan itu atas alasan keselamatan.
Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario berkata, tindakan itu berikutan ancaman keselamatan setelah empat askar negara ini diculik pemberontak Syria di Bukit Golan.
Beliau telah mengemukakan cadangan pengunduran lebih 300 tentera negara itu kepada Presiden Benigno Aquino III dan hanya menunggu keputusan muktamad daripada Presiden.
"Sebaik-baik kebenaran diberikan, kami akan segera mengundurkan tentera kami (dari Bukit Golan),'' katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pemberontak Syria menahan empat anggota pengaman Filipina di satu pos pemeriksaan di Bukit Golan pada Selasa lalu, dua bulan selepas 21 askar Filipina diculik oleh kumpulan sama dan ditahan selama empat hari.
Kumpulan pemberontak itu mengeluarkan satu video terbaharu di Internet menunjukkan keempat-empat anggota pengaman yang ditahan tersebut tidak dicederakan.
Del Rosario mendedahkan bahawa kumpulan yang menculik tentera Filipina sebenarnya telah dikepung dan mereka menggunakan askar negara ini hanya untuk memastikan mereka dapat keluar daripada situasi tersebut.
Del Rosario berkata, beliau faham tentang prosedur iaitu satu notis selama tiga bulan diperlukan untuk mengundurkan tentera daripada misi pengaman PBB.
"Bagaimanapun, di bawah keadaan tertentu iaitu ketika nyawa rakyat kami dalam bahaya, kami akan cuba berusaha supaya PBB dapat membebaskan mereka seawal mungkin,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130511/lu_08/Filipina-undur-tentera-dari-Bukit-Golan#ixzz2SwhS0pwh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment