Saturday, May 11, 2013

Jangan terus politikkan isu air - Rozali



SHAH ALAM 10 Mei - Isu bekalan air tidak perlu terus dipolitikkan sebaliknya diselesaikan secara bersama dan terbuka antara kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan, kata bekas Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan), Tan Sri Rozali Ismail.
"Swan melihat masalah air di Lembah Klang adalah kritikal memandangkan setiap masa, setiap hari, setiap bulan ada gangguan bekalan air di sana sini," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ketujuh persatuan itu di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd. berkata, rizab bekalan air terawat bagi kawasan Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur adalah di bawah lima peratus tahun ini dan jika tiada usaha meningkatkan bekalannya, Lembah Klang akan kekurangan bekalan air terawat sebanyak 12 juta liter sehari pada tahun 2014.
Pada tahun 2015, kekurangan air boleh bertambah teruk iaitu sebanyak 154 juta liter air sehari dan meningkat kepada 181 juta liter sehari menjelang 2016, katanya.
Rozali berkata, Swan berterima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Kementerian Kewangan kerana telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM731 juta bagi projek mitigasi bekalan air di Lembah Klang.
Daripada jumlah itu RM342 juta disalurkan kepada kerajaan negeri Selangor dan selebihnya kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), anak syarikat milik penuh Puncak Niaga, sepanjang tiga tahun lepas.
Tanpa bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu, masalah bekalan air di Lembah Klang boleh menjadi lebih besar, katanya.
Sebagai usaha membantu menyelesaikan masalah air di Lembah Klang, Rozali berkata, Jawatankuasa Pengurusan Swan bagi sesi 2013/2015 yang diketuai Aldric Loong Kim Yew, akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang baharu di peringkat Persekutuan dan Menteri Besar Selangor yang baharu, untuk berbincang dan mengenal pasti kaedah penyelesaian kepada masalah air itu.
Beliau berkata, Swan bersifat terbuka dalam penyelesaian masalah air itu kerana ia bukan sahaja melibatkan pembinaan loji rawatan air yang baharu malah penggantian paip lama.
Semua langkah itu bertujuan mengurangkan kadar kerugian air terawat yang hilang akibat paip pecah, selain penukaran meter pukal bagi pangsapuri kepada meter individu.
Ketika ditanya mengenai tawaran kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih syarikat konsesi air termasuk Syabas, Rozali berkata, syarikat berkenaan tersenarai di Bursa Malaysia dan jalan penyelesaiannya perlu mengambil kira kepentingan pemegang saham.
Selain itu, para pemegang konsesi telah membuat pinjaman untuk pelaburan di dalam industri dan pengambilan konsesi air ini perlu dilakukan pada harga yang berpatutan.
Mengenai jawatan Presiden Swan, Roazali berkata, beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatan itu kali ini, kerana tidak mahu mempunyai kepentingan langsung yang boleh dikaitkan beliau dengan persatuan itu.
"Kita harap Swan akan lebih independent tanpa saya dan mereka akan melihat kepentingan pengguna dan berbincang dengan negeri dan Persekutuan cara menyelesai masalah dengan lebih komprehensif," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment