Dr Azman Ibrahim,
Belum sampai 24 jam mengangkat sumpah sebagai MB bagi penggal ke 2, Ahmad Said tak tertangguh lagi untuk melempiaskan kemarahannya kepada rakyat yang telah memilih PAS sehingga mereka hanya mampu terus berada di Wisma Darul Iman dengan kelebihan 2 kerusi sahaja.
Sebagaimana yang disiarkan oleh portal berita Bernama, tiada lagi projek perumahan mampu milik di kawasan Dun dan parlimen yang dimenangi pembangkang. Kononnya selama ini kerajaan BN telah banyak mengambil alih tugas-tugas wakil rakyat PAS. Mana-mana rakyat di kawasan pembangkang yang berhajat kepada pembangunan, mereka diminta mengajukan kepada wakil rakyat pembangkang yang telah mereka pilih!
Saya sangat bersetuju dengan arahan ini kalau kenyataan ini turut disertakan dengan ketetapan bahawa mulai dari sekarang rakyat di kawasan yang diwakili pembangkang tidak lagi perlu membayar sebarang cukai sebagaimana yang dikenakan kepada rakyat yang mendiami kawasan BN. Barangan di kawasan yang diwakili pembangkang juga akan menjadi lebih murah kerana cukainya telah dikecualikan. Harga kereta, harga petrol merudum di kawasan pembangkang. Alangkah seronoknya.
Saya juga boleh bersetuju kalau jawatan pegawai pembangunan dun atau parlimen dimansuhkan dengan syarat peruntukan pembangunan dun dan parlimen berkenaan disalurkan kepada yang berhak. Siapa lagi kalau bukan wakil yang dipilih oleh rakyat.
Datuk Seri MB... Lupakah Tuan bahawa negara kita ini demokrasi. Bila Datuk Seri mengangkat sumpah sebagai MB, tentunya Datuk Seri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi negeri Terengganu Darul Iman, bukannya MB bagi orang Umno!
Rakyat Terengganu adalah rakyat Datuk Seri sama ada mereka Pas atau Umno. Jangan Datuk Seri menggali lubang untuk memendekkan lagi hayat kerajaan Umno yang telah sedia berada di hujung tanduk.
Berlaku adillah kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa.
No comments:
Post a Comment