Apa di sebalik kempen boikot?
Antara kempen yang digerakkan di internet bagi membantu peniaga Melayu.
Apa di sebalik kempen boikot?
Antara kempen yang digerakkan di internet bagi membantu peniaga Melayu.
Apa di sebalik kempen boikot?
Antara kempen yang digerakkan di internet bagi membantu peniaga Melayu.
MONOPOLI sesuatu kaum dalam perniagaan bukanlah isu baru di negara ini. Ianya bermula akibat dasar pecah dan perintah yang dibawa masuk penjajah Inggeris ke Tanah Melayu sebelum merdeka, membuatkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India hidup dalam lingkaran ekonomi yang tidak sama rata.

Justeru, tidak hairanlah apabila isu itu menjadi paksi kepada kempen memboikot barangan keluaran syarikat Cina yang kembali hangat diperkatakan sejak Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan pemilik blog memulakan kempen Buy Chinese Last untuk mengajak orang ramai membeli barangan keluaran syarikat Bumiputera dan Melayu serta hanya membeli barangan Cina sebagai pilihan terakhir.

Persoalannya, apakah matlamat serta kesan di sebalik kempen itu?

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman melihat kempen memboikot barangan Cina dari sudut ekonomi, iaitu sebagai platform bagi membantu meningkatkan ekonomi golongan Melayu dan Bumiputera.

“Melalui kempen seperti ini, kita mahu meningkatkan kesedaran kepada orang Melayu supaya membeli barangan buatan Melayu dan Bumiputera bagi meningkatkan ekonomi peniaga Melayu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian berhubung isu ini.

PPIM adalah antara NGO yang menjalankan kempen memboikot barangan Cina dan juga syarikat yang didakwa menyokong keadaan huru-hara dalam negara.

Menurutnya, PPIM akan memastikan kempen seumpama itu berjaya seperti yang pernah dilakukan sebelum ini dengan memboikot barangan Yahudi.

"Bagi kempen boikot kali ini, strategi kita adalah memperhebatkan desakan melalui media massa dan laman sosial serta kemungkinan mengadakan perhimpunan aman sebagai jalan terakhir agar masyarakat Bumiputera mendapat kesedaran tentang isu ini yang seharusnya diteruskan secara konsisten.

“Kita cuma harapkan 30 peratus (pengguna) sahaja yang memboikot kerana itu saja telah mencukupi untuk menyebabkan mereka (peniaga Cina) tiada keuntungan,” katanya.

Tidak timbul isu perkauman

Jika dilihat, kuasa membeli orang Melayu sekarang amat kuat dan ini terbukti dengan permohonan mendapatkan logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terutama di premis menjual makanan serta pendekatan syarikat Cina yang banyak menggunakan jenama berunsur kemelayuan atau Islamik untuk menarik pengguna Melayu.

Namun menurut Dr Ma’amor, isu perkauman tidak timbul dalam kempen boikot seperti itu kerana ia lebih kepada mengajak orang ramai mengubah selera.

"Contohnya, hari ini kita menggunakan petrol dari stesen A dan bulan depan mengubah selera menggunakan petrol stesen B pula.

“Kedua-duanya tetap menyumbang kepada ekonomi negara. Samalah seperti kempen memboikot barangan bukan Bumiputera kepada menyokong barangan Bumiputera dan ianya tidak sama sekali menjejaskan ekonomi negara seperti yang didakwa,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Perdagangan Teh Malaysia Chen Kien Keong dilaporkan media berkata bahawa kempen memboikot barangan seperti dilakukan NGO Melayu akan membahayakan pertumbuhan ekonomi negara.

“Bagaimana anda boleh kata boikot? Siapa yang akan rugi? Kerajaan dan rakyat Malaysia yang akan rugi.

"Jika mereka boikot jenama Cina, orang Cina juga boleh boikot jenama Melayu. Bila ini akan berakhir?,” soal Kien Keong.

Boikot bantu tingkat daya saing peniaga

Bagi penganalisis ekonomi pula, kempen memboikot barangan bukan Bumiputera lebih membawa kebaikan kerana bukan sahaja ia tidak akan menjejaskan ekonomi negara, malah bakal merancakkan lagi sektor perniagaan ke tahap lebih berdaya saing serta mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan Bumiputera.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, masyarakat Bumiputera mempunyai kuasa membeli sebanyak 50 peratus dalam negara.

“Kempen ini ibarat serampang dua mata, kerana ianya mampu membantu peniaga Melayu untuk terus berkembang dan secara tidak langsung memberi saingan kepada  peniaga Cina yang sememangnya memonopoli sektor perniagaan semenjak 50 tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Menurut Dr Baayah, melalui pemerhatian kasar beliau, kempen dilaksanakan PPIM bersama beberapa badan NGO lain dilihat memberi kesan apabila lebih ramai orang Melayu mula berhenti membeli barangan daripada peniaga Cina.

“Inilah peluang untuk orang Melayu dan Bumiputera bersaing dalam sektor peruncitan agar produk keluaran syarikat Melayu juga akan dapat dijual pada harga yang lebih rendah berbanding sekarang,” katanya.