ISTANBUL 11 Jun - Beratus-ratus polis antirusuhan Turki hari ini merempuh penghadang jalan dan menggempur penunjuk perasaan di Dataran Taksim di tengah Istanbul, yang telah menawan dataran itu sejak lebih seminggu lalu.
Polis sebelum itu melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan peluru getah menyebabkan ramai penunjuk perasaan di dataran itu melarikan diri ke Taman Gezi, lokasi mereka berkhemah.
Beberapa aktivis turut bertindak membaling mercun, bom api dan batu ke arah polis yang melepaskan meriam air.
Sebelum itu, penunjuk perasaan mendirikan penghadang jalan dan bersiap sedia dengan sebarang campur tangan ketika polis mula berkumpul di kawasan tersebut.
Polis pada mulanya menurunkan kain rentang besar yang digantung oleh penunjuk perasaan di bangunan di hujung dataran itu dengan menggantikannya dengan bendera Turki dan kian rentang yang yang memaparkan wajah pengasas republik sekular, Mustafa Kemal Ataturk.
Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata dalam mesejnya di Twitter bahawa operasi polis itu hanya untuk menurunkan kain rentang yang digantung pada monumen di dataran berkenaan.
Menurutnya, penunjuk perasaan yang berkampung di taman berhampiran dataran itu tidak akan diganggu.
Sementara itu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam bersetuju menemui pemimpin penunjuk perasaan.
"Erdogan bersetuju menemui beberapa pemimpin kumpulan yang mengetuai tunjuk perasaan di negara ini esok.
"Mereka akan diperjelaskan dengan fakta sebenar dan Perdana Menteri akan mendengar pendapat mereka," kata Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130612/lu_06/Polis-antirusuhan-gempur-penunjuk-perasaan#ixzz2VxgRlat9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment