Wednesday, June 12, 2013

Polis Turki gempur tunjuk perasaan anti-Erdogan


SEORANG penunjuk perasaan melindungi dirinya daripada tembakan meriam air.- REUTERS


ISTANBUL - Polis pencegah rusuhan Turki melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan bersenjatakan batu dan mercun selepas mereka cuba menawan Dataran Taksim yang menjadi pusat tunjuk perasaan antipemerintah di sini semalam.
Polis pencegah rusuhan dengan dibantu sejumlah kereta perisai memasuki dataran yang menjadi pusat tunjuk perasaan sejak lebih 10 hari lalu itu sejurus selepas subuh.
Beberapa jentolak digunakan untuk memusnahkan halangan yang dibina daripada bongkah batu dan besi.
Tindakan polis itu mengejutkan penunjuk perasaan yang kebanyakannya masih tidur di Taman Gezi.
Ia dilakukan sehari selepas Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdongan bersetuju untuk bertemu pemimpin-pemimpin tunjuk perasaan tersebut.
Asap tebal memenuhi Dataran Taksim selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.
Sebahagian penunjuk perasaan yang memakai topi keledar dan topeng gas bertindak balas dengan membaling bom api, mercun dan batu.
"Percayakah anda? Mereka (polis) menyerbu Dataran Taksim selepas bersetuju untuk berunding dengan kami. Pemimpin jenis apakah ini?" kata seorang penunjuk perasaan berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Yulmiz.
Polis juga bertindak membuka kain-kain rentang yang digantung oleh penunjuk perasaan di sebuah bangunan berdekatan Dataran Taksim.
Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, pihaknya tidak merancang untuk menyuraikan tunjuk perasaan itu yang diadakan secara aman.
"Tujuan kami cuma untuk membuang sepanduk dan gambar pada patung Kamal Ataturk dan Pusat Kebudayaan Ataturk.
"Kami tidak mempunyai tujuan lain," katanya.
Erdogan memberi amaran, beliau tidak lagi bertolak ansur dengan para penunjuk perasaan itu yang menentang pemerintahannya.
Protes antipemerintah itu bermula sebagai bantahan terhadap projek pembangunan semula Taman Gezi yang terletak berhampiran dataran tersebut.
Tunjuk perasaan itu kemudian menjadi anti-Erdogan selepas Perdana Menteri tersebut enggan menarik balik rancangan berkenaan.
Pembangunan semula itu akan melibatkan pembinaan berek tentera pada era pemerintahan Ottoman dan pusat kebudayaan.
Dalam pada itu, Erdogan menuduh tunjuk perasaan itu didalangi kumpulan samseng, elemen pengganas dan anasir luar yang tidak didedahkan.
Pada masa yang sama semalam, beliau menyatakan empat orang termasuk seorang anggota polis maut dalam protes tersebut.
Hampir 5,000 orang turut cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment