Wednesday, June 12, 2013

Snowden mula menghilangkan diri

WASHINGTON 11 Jun - Seorang kontraktor di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat (AS) yang membocorkan butiran program pemantauan sulit AS mula menghilangkan diri semalam.
Edward Snowden, 29, mengambil tindakan itu selepas dia mendedahkan dirinya kelmarin dalam satu wawancara bersama akhbar Guardian dan menjelang tuntutan daripada kerajaan AS untuk mengekstradisinya ke Washington.
Snowden yang menyediakan maklumat untuk laporan yang diterbitkan pada minggu lalu bahawa NSA memantau panggilan telefon dan data Internet daripada syarikat besar seperti Google dan Facebook, mendaftar keluar dari hotel yang didiami di Hong Kong beberapa jam selepas dia membuat pendedahan itu.
Kakitangan di sebuah hotel mewah di Hong Kong memberitahu Reuters, Snowden telah mendaftar keluar pada petang semalam.
Manakala seorang wartawan Guardian, Ewen MacAskill pula berkata, Snowden masih berada di Hong Kong.
“Dia tidak mempunyai rancangan kerana sebelum ini dia merancang untuk mendedahkan maklumat itu tanpa dikenali.
“Saya jangka akan berlaku pertelagahan di antara Washington, Beijing dan kumpulan hak asasi manusia dan Snowden akan berusaha mendapatkan suaka politik dari negara lain," kata MacAskill.
Dalam pendedahannya, Snowden menyatakan NSA telah membina satu program pemantauan sulit yang dikenali sebagai PRISM yang boleh mengintip e-mel, kata laluan, rekod panggilan telefon dan maklumat kad kredit semua rakyat AS. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130612/lu_10/Snowden-mula-menghilangkan-diri#ixzz2VxhdW8d2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment