SYDNEY - Misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menggunakan kenderaan dalam air autonomi yang dikenali sebagai Bluefin-21 disambung semula semalam.
Sebelum ini, misi mencari di selatan Lautan Hindi tersebut ditangguhkan selepas Bluefin-21 itu mengalami masalah teknikal.
Menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), kenderaan itu diturunkan dari kapal Ocean Shield pada pukul 2 pagi untuk mencari pesawat MH370 di dasar laut.
Pesawat tersebut hilang dalam penerbangan ke Beijing, China selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Ketika hilang, pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Sebanyak 153 penumpang itu merupakan warga China.
Sebelum ini, kenderaan dalam air itu yang boleh menyelam pada kedalaman sehingga 4,500 meter telah dihantar pulang dengan menaiki kapal tersebut ke Perth pada minggu lalu untuk diperbaiki selepas mengalami beberapa masalah teknikal.
Misi pencarian itu dilakukan di kawasan terpencil selatan Lautan Hindi berdasarkan isyarat 'ping' yang dipercayai datang dari kotak pesawat tersebut.
"Pada minggu depan, Bluefin-21 akan memperluaskan kawasan pencarian di kawasan beberapa isyarat akustik berjaya dikesan pada awal April lalu," kata JACC menerusi satu kenyataan.
Rundingan sedang dilakukan bagi membolehkan kontraktor swasta terlibat dalam misi mencari pesawat MH370.
Menurut JACC, kapal peninjau China, Zhu Kezhen kini telah belayar dari Pelabuhan Fremantle, Australia kelmarin untuk memulakan misi pemetaan di dasar Lautan Hindi.
Sebuah lagi kapal milik China, Haixun 01 turut belayar semalam untuk memberi bantuan kepada misi pemetaan tersebut.
Menurut JACC, kerja-kerja kini diteruskan bagi mengkaji dan menganalisis semua data dan maklumat berkaitan dengan laluan MH370.
Setakat ini tiada sebarang serpihan pesawat MH370 yang berjaya ditemui di selatan Lautan Hindi. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz32UPW5wwE
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment