Friday, May 23, 2014

Rampasan kuasa boleh cetus rusuhan berdarah


BANGKOK 22 Mei - Rampasan kuasa tentera di Thailand yang diumumkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha hari ini, dibimbangi boleh mengakibatkan lebih banyak rusuhan berdarah di negara ini.
Sejak enam bulan lalu, penyokong antikerajaan diketuai Suthep Thaugsuban menjalankan demonstrasi hampir setiap hari dan masih menunjukkan tanda-tanda tidak puas hati dengan pelbagai pendekatan yang telah dilakukan kerajaan dalam usaha menamatkan kemelut politik Thailand.
Keputusan Prayuth hari ini, dikhuatiri membangkitkan kemarahan penyokong Baju Merah yang prokerajaan sekali gus menjadikan masa depan Thailand semakin tidak menentu.
Dalam pada itu, kumpulan antikerajaan pula dilihat bersorak gembira dengan mengibarkan bendera kebangsaan sebaik-baik tentera mengumumkan rampasan kuasa.
Rampasan kuasa kali ini juga mengulangi kembali pemerintahan tentera selama 41 hari pada 2006 di bawah pemerintahan Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang menyingkirkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra.
Sepanjang lebih sebulan itu, Thailand ditadbir kerajaan sementara diketuai Jeneral Bersara Surayud Chulanont sebagai Perdana Menteri.
Krisis politik di Thailand sejak November lalu, turut memperlihatkan kelemahan kerajaan demokrasi negara ini apabila Kabinet terpaksa bersidang di lokasi yang dirahsiakan semata-mata untuk mengelak diserang penunjuk perasaan antikerajaan.
Kuasa Perdana Menteri yang di­pilih melalui pilihan raya, Yingluck Shinawatra juga semakin terhad selepas beliau membubarkan Parlimen pada Disember lalu, sekali gus membuatkan keadaan bertambah buruk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140523/lu_02/Rampasan-kuasa-boleh-cetus-rusuhan-berdarah#ixzz32UKmTfRv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment