Friday, May 23, 2014

Polis patut tangkap "samseng BN" ganggu kempen Dyana Sofya

SHAH ALAM, 23 MEI: Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih2.0) kecewa apabila masih banyak kesalahan serius yang melibatkan gangguan ketenteraman awam dan jentera kempen tidak ditangani polis.
Gangguan terbabit termasuk insiden yang melibatkan penunggang motorsikal terhadap calon DAP di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud di sebuah pasar pagi baru-baru ini.
“Gangguan penunggang motorsikal yang dirakamkan PEMANTAU pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) masih berlaku dan kelihatannya disasarkan kepada calon wanita.
“Polis harus tegas dalam mengambil tindakan segera untuk menangkap samseng sebegini, jika tidak mereka akan berleluasa,” menurut kenyataan bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 yang dipengerusikan Maria Chin Abdullah dan timbalannya, Dr Ahmad Farouk Musa.
Tegas Bersih 2.0 tindakan menghadkan interaksi antara mana-mana calon dengan pengundi tidak membantu pengundi memilih calon terbaik untuk mewakili mereka sama ada di Dewan Negeri mahu pun Dewan Rakyat.

“Pengundi berhak mendapatkan sebanyak maklumat mengenai semua calon secepat mungkin supaya mereka berdaya membuat keputusan terbaik dalam pemilihan wakil mereka.
“Maka, Bersih 2.0 berharap pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan terhadap calon pilihan raya kecil yang menjalankan kempen awal,” kata kenyataan itu lagi.
Bersih 2.0 turut menggesa rakyat supaya mempersoalkan calon yang menjanjikan pembangunan infrastruktur hanya ketika berkempen kerana isu terbabit merupakan hak rakyat dan bukannya ‘ganjaran’ untuk undi mereka.
“Tolak politik kotor yang menyentuh persoalan peribadi calon, sebaliknya, desak semua pihak yang berkenaan supaya membentangkan dasar yang akan dibawa ke badan perundangan jika dipilih sebagai wakil,” kata kenyataan bersama itu lagi.http://networkedblogs.com/X6UrE

No comments:

Post a Comment