Friday, May 23, 2014

Siapa bom Urumqi?


Dalam letupan di sebuah pasar dipenuhi orang ramai di Urumqi itu Beijing segera menuding jari menyalahkan kumpulan dilabel ‘pengganas yang kejam.’ 
Kejadian semalam adalah antara yang paling buruk dan menunjukkan pendirian komuniti setempat menentang pemerintahan China di wilayah ramai didiami etnik Uighur. 

Agensi berita Xinhua melaporkan, Presiden Xi Jinping ‘berazam mengembalikan keamanan dan menghukum pengganas yang bertanggungjawab.’
Foto
KEADAAN di sekitar pasar selepas serangan bom.

Letupan berlaku kira-kira jam 7.50 pagi.

Saksi dilaporkan melihat ‘dua kenderaan SUV’ merempuh orang ramai sebelum bahan letupan dibaling dari dalam. 

Satu daripada kenderaan berkenaan meletup di dalam pasar itu. 

Saksi turut melaporkan mendengar kira-kira 12 letupan kuat. 

Seorang wanita dikenali sebagai Saloshka yang berada hanya beberapa kaki dari tempat kejadian berkata di akaun Sina Weibo miliknya bahawa antara yang maut ialah warga emas. 

Perkara itu juga dapat dilihat dalam gambar tempat kejadian yang menunjukkan orang ramai kebanyakannya sudah berusia lanjut diheret ke dalam ambulans atau menaiki basikal untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran. 

Ada juga mangsa dilihat duduk dalam keadaan terkejut sementara beberapa tempat di pasar berkenaan terbakar. 

Menurut Tianshan Net, letupan berlaku di daerah Shayibake yang dikenali sebagai Saybagh dalam bahasa Ughyur. 

Majoriti penduduk di kawasan itu ialah etnik Han yang tidak beragama Islam. 

Sejak kebelakangan ini, Xinjiang kian dihimpit keganasan termasuk membabitkan etnik Uighur dan Han. 

Profesor di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura, Rohan Gunaratna berkata, serangan semalam membuktikan China perlu memikirkan semula caranya menangani keganasan di Xinjiang. 

“Sebaiknya Beijing berusaha memenangi hati komuniti Uighur supaya mereka tidak bersimpati dengan pihak militan dan membantu kerajaan China memerangi pengganas. 

“Selagi ini tidak dilakukan, serangan akan terus berlaku dan pengganas menjadi lebih berani. Setiap kali pengganas berjaya melaksanakan serangan bererti aktiviti risikan gagal dilakukan sebaiknya,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/23

No comments:

Post a Comment