TIDAK dapat dibayangkan bagaimana dengan tiba-tiba Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dihina dan dilemparkan pelbagai tuduhan oleh sesetengah ahli parti sendiri berikutan ketegasan beliau mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Seingat saya, sepanjang 30 tahun lebih di dalam PAS, belum pernah terjadi hal demikian dan tidak pernahpun membayangkan akan terjadi hal seperti itu, tetapi telahpun terjadi.
Berikutan kenyataan tegasnya menyokong Tan Sri Abdul Khaid Ibrahim itu pelbagai andaian dan tuduhan dibuat terhdap Presiden PAS. Ada yang mengatakan kononnya ini isyarat bahawa PAS akan bersendirian, yakni akan berpisah dengan dari Pakatan Rakyat.
Ada pula yang berteori bahawa perkembangan ini akan membuka peluang PAS untuk menghidupkan kembali apa yang dinamakan ‘Kerajaan Perpaduan’, iaitu kerjasama PAS dengan Umno.
Semua tuduhan dan andaian ini sama sekali tidak berasas, malah ia menggambarkan bacaan dan pemikiran politik pihak yang mereka-cipta ini sangat naïf, suatu andaian yang penuh kecelaruan dan tidak berasas.
Saya dapat memahami kesedihan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abd Samad terhdap perbuatan sesetngah pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan prasangka terhadap pemimpin PAS sendiri. Dalam twitternya, beliau sendiri tidak pernah menyangkan hal seperti ini berlaku.
Secara lojik bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan tidak ada siapapun yang boleh menghalangnya. Ini sewajarnya difahami oleh semua pihak walaupun sudah ada usaha PKR untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak projek Langkah Kajang.
Rundingan selanjutnya oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 10 Ogos ini juga sama sekali tidak boleh menafikan hak Presiden PAS untuk membuat kenyataan menyatakan pendiriannya.
Adapun kenyataan Presiden PAS itu tidak ada sebarang isyarat – secara tersurat atau tersirat – bahawa PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Maka sebarang andaian ke arah itu, walau dalam apa cara dan hujahpun, hanyalah memberi peluang kepada musuh Pakatan untuk memecah-belahkan Pakatan. Hendaknya perkara ini mesti dihindarkan.
Sangat aneh untuk melihat lingkaran isu ini di mana secara jelas ialah masalah antara PKR dengan Tan Sri Khalid yang dicetuskan dalam Projek Langkah Kajang, iaitu PKR hendakkan menggantikan MB itu dengan tokoh lain.
Bagaimanapun oleh kerana PAS adalah salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP, maka masalah ini dihadapkan juga kepadanya. Tetapi secara lojiknya isu ini lebih kepada masalah PKR dengan Tan Sri Khaid.
Oleh itu mengapa PAS dengan tiba-tiba diheret begitu jauh ke dalam dalam isu ini. Sama seperti ‘pihak lain yang karam mengapa orang PAS pula yang lemas’. Analogi seperti ini muncul ketika pelbagai pihak, khususnya sesetengah pendukung PAS sendiri, melemparkan pebagai tuduhan terhadap Presiden PAS berhubung dengan kenyataannya.
Memang benar, PAS berada dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP oleh itu segala masalah Pakatan dikongsi bersama mengatasinya.
Tetapi jangan lupa projek Langkah Kajang yang hendak menukarkan Tan Sri Khalid adalah dicetuskan oleh PKR. Maka itu, sewajarnyalah PKR lebih dulu menyelesaikannya dan PAS sebagai anggota Pakatan telahpun memberikan pandangan.
Sama ada diterima atau ditolak oleh Pakatan sama sekali tidak mengurangkan hak Presiden PAS menyatakan sikap. Dengan itu terimalah hakikat ini serara rasional dengan segala kewarasan.
Presiden PAS dalam kenyataannya secara jelas mempertahankan Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana tokoh ini tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.
“Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggalnya.
“Isunya ialah menunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila Jumaat lalu.
Oleh itu tidak apa yang boleh menimbulkan kekeliruan yang mencetuskan kontroversi terhadap kenyataannya itu. Ini kerana kenyataannya itu berdasarkan pandangan syarak dan hasil penyelidikannya dari pebagai sumber.
Bagaimanapun, Insya-Allah, kemelut di Selangor ini, tidak akan menjejaskan keutuhan Pakatan Rakyat. Oleh itu jangan terperangkap akan jerangkap samar musuh Pakatan dalam isu ini.
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya muafakat dalam Pakatan Rakyat akan tetap kekal dalam menghadapi isu sekitar pertukaran Menteri Besar Selangor.
“Saya percaya semangat muafakat dalam Pakatan akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat,” katanya.
Akhirnya semua pihak dalam Pakatan supaya bertenang, sabar, mengekalkan kewarasan fikiran, tidak mereka-cipta pelbagai andaian dan tuduhan mengenai isu ini. Dengan berbuat demikian, dengan izin Allah s.w.t. boleh menyelamatkan Pakatan Rakyat dan pemerintahannya di Selangor.
Selamat menyambut Idul-Fitri, maaf zahir batin kepada para pembaca.