Monday, August 18, 2014

China denda Mercedes-Benz kerana monopoli - Xinhua

ISNIN, 18 OGOS 2014 @ 1:41 PM

Dalam gambar fail 20 April 2014, pengunjung menyaksikan model terbaharu Mercedes di pameran auto Beijing.
 
SHANGHAI: Mercedes-Benz, pengeluar kereta mewah anak syarikat Daimler AG didapati salah memanipulasi harga khidmat selepas jualan di China, lapor agensi berita Xinhua.

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat dalam beberapa sektor industri sudah dikenakan tindakan, seiring dengan peningkatan penguatkuasaan yang diambil China bagi mendesak syarikat patuh kepada peraturan anti-monopoli yang diperkenalkan pada 2008.

Undang-undang itu membolehkan pihak berkuasa anti-monopoli iaitu, Suruhanjaya Penambahbaikan dan Pembangunan Nasional (NDRC) mengenakan denda hingga 10 peratus daripada pendapatan tahun sebelumnya syarikat berkenaan di China.

Industri automotif adalah antara industri yang berada dalam perhatian pihak berkuasa sehingga menyebabkan pengeluar seperti Mercedes-Benz, Audi dan BMW menurunkan harga alat ganti baru-baru ini.

Biro Harga Wilayah Jiangsu, yang menggerakkan siasatan minggu lalu, menemui bukti mengenai amalan anti-daya saing selepas menyerbu sebuah wakil jualan Mercedes-Benz di wilayah itu yang bersebelahan Shanghai.

Pada 5 Ogos lalu, Mercedes-Benz dilaporkan mengumumkan sedang membantu penyiasatan itu.

"Ia adalah kisah tipikal monopoli menegak yang mana pengeluar kenderaan memanfaatkan kedudukan mereka sebagai peneraju pasaran untuk mengawal harga alat ganti, kos pembaikan dan penyelenggaraan," kata Zhou Gao, ketua penyiasatan anti-monopoli di Jiangsu, kepada Xinhua.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut kemungkinan hukuman.

Pemeriksaan Persatuan Dagangan Automotif dan Penyelenggaraan Automotif China, mendapati kos menggantikan semua komponen Mercedes-Benz C Class boleh menjadi 12 kali lebih mahal berbanding membeli sebuah kereta baharu.

Awal bulan ini, NDRC berkata ia akan menghukum Audi (VW) dan Chrysler (Fiat) kerana amalan monopoli. Media China minggu lalu melaporkan Audi akan didenda sekitar 250 juta yuan (RM128.3 juta).

Pakar industri berkata, pengeluar automotif mempunyai terlalu banyak kawalan terhadap wakil pengedar dan pembekal komponen di China, sehingga membolehkan mereka mengawal harga, keadaan yang dianggap melanggar peraturan anti-monopoli di negara itu.

Kerajaan China sejak beberapa tahun lalu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang anti monopoli dengan mendenda beberapa syarikat antarabangsa termasuk Mead Johnson Nutrition Co dan Danone SA.

Kerajaan juga sudah melaksanakan siasatan anti-monopoli terhada firma gergasi dari AS termasuk Microsoft Corp, manakala pengeluar cip , Qualcomm juga sudah disahkan beroperasi dengan monopoli. - Reuters

No comments:

Post a Comment