Monday, August 18, 2014

Pemisah tembak jatuh jet pejuang Ukraine


Kiev: Puak pemisah pro-Russia di timur Ukraine menembak jatuh sebuah jet pejuang milik tentera negara itu, semalam.

Menurut jurucakap tentera, Oleksiy Dmitrashkovsky jet berkenaan ditembak jatuh di wilayah Luhansk ketika melancarkan serangan ke atas pemberontak.


Juruterbangnya bagaimanapun dilapor selamat.

Maklumat lanjut berhubung kejadian serta keadaan juruterbang itu masih belum diketahui.


Pertempuran di Ukraine semakin buruk sejak pemberontakan berlaku April lalu dengan tentera kerajaan menawan kembali kawasan dikuasai pemberontak.


Bandar di Luhansk yang dikepung tentera Ukraine kini dilaporkan menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik yang kritikal dan bekalan makanan serta perubatan terhad.

Donetsk, bandar terbesar dikuasai pemberontak sering menyaksikan pengeboman berterusan dilakukan tentera kerajaan.

Pertempuran terbaru itu berlaku ketika konvoi bantuan Russia berada di sempadan dengan Ukraine, menunggu kebenaran membawa bekalan kepada orang awam yang menderita akibat sengketa bersenjata itu.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa yang bertanggungjawab menyampaikan bekalan memberitahu, kemasukan mereka tertangguh berikutan kurang jaminan keselamatan daripada semu pihak yang terbabit dalam konflik di negara itu.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment