• Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory HussainPenganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain

SHAH ALAM – PR tidak boleh memaksa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima calon Menteri Besar Selangor pilihan mereka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak bagi menentukan mana-mana individu yang layak menjadi menteri besar.

“PR tak boleh mendesak Sultan...nak paksa-paksa pilih itu atau pilih ini. Tak boleh. Itu Sultan punya kuasa.

“Kalau baginda berkenan dengan Wan Azizah, Wan Azizah jadi menteri besarlah. Rakyat atau ketua parti tak boleh paksa Sultan. Itu tak betul,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Malah katanya, Sultan juga berkuasa untuk menitahkan agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap menjawat jawatan itu buat sementara.

Dalam pada itu, beliau sempat menyentuh soal hanya satu nama yang dikemukakan PR kepada Sultan Selangor selepas nama kedua yang dicadangkan Pas, Mohamed Azmin Ali mengumumkan mengundur diri.

“Mengikut peraturan, pihak parti mesti beri sekurang-kurangnya tiga nama. Tak boleh letak satu nama sahaja.

“Lengkapkan syarat sahaja nama lain itu. Sepatutnya letaklah nama Azmin. Sultan perlu lihat siapa saja yang parti mahukan. Kebiasaannya memang beri lebih daripada satu nama.

Ia (beri satu nama) seperti memaksa Sultan. Jadi perlu bagi lebih daripada satu nama supaya Sultan boleh pilih,” katanya.

Jelasnya, andai Sultan Selangor akhirnya memilih Wan Azizah atau Azmin, calon yang tidak dipilih perlu akur dengan keputusan tersebut.

“Sekiranya Sultan memilih Azizah tak apalah, Azmin sudah akur awal-awal. Kalau Azmin yang Sultan pilih, Wan Azizah kena akurlah pula. Begitulah sepatutnya.

“Walau Azmin dipilih sekalipun, saya rasa tidak timbul bantahan atau PR tidak akan keberatan,” katanya.

Semalam, hasil Mesyuarat Pimpinan Pas Peringkat Pusat yang berlangsung selama 90 minit mendedahkan dua nama, Wan Azizah dan Mohamed Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu.

Namun, melalui satu sidang media PR lewat petang semalam, Azmin mengumumkan beliau akur dengan keputusan parti yang mencalonkan Wan Azizah dan menghargai keputusan Pas meletakkan namanya sebagai calon jawatan tersebut.