Monday, August 18, 2014

Peluang penghormatan terakhir


Kuala Lumpur: Jasad 16 mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang akan tiba di Malaysia pada 22 Ogos ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan sebelum diserahkan kepada keluarga dan waris masing-masing supaya orang ramai berpeluang memberi penghormatan terakhir.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jasad itu akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi peluang orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas. 
"Pada hari itu nanti, kumpulan jasad pertama yang akan dikebumikan di sekitar ibu negara akan berada di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memberi peluang kepada orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada jasad itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi. 

Beliau menambah, kumpulan jasad kedua pula akan dibawa masuk ke beberapa pesawat yang disediakan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk diterbangkan ke negeri asal masing-masing.
Foto
RAKYAT Malaysia termasuk pelajar di Belanda menunaikan solat jenazah mangsa MH17 diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putrajaya Ustaz Abdul Manaf Mat, minggu lalu.

"Dua pesawat pengangkut C-130 dan lima buah helikopter Nuri akan digunakan untuk membawa jenazah itu dan akan disambut oleh kepimpinan negeri masing-masing.

“Saya difahamkan mereka sudah bersiap-sedia untuk menerima jasad itu," katanya lagi. 

Terdapat 15 daripada 24 jasad warga Malaysia yang telah dikenal pasti serta satu jasad warga Belanda akan dibawa pulang Jumaat ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

No comments:

Post a Comment