Monday, August 18, 2014

Rancang miliki 1,000 anak tumpang


Bangkok: Seorang lelaki warga Jepun yang disyaki menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 15 anak tumpang di Thailand merancang untuk menjadi bapa seramai 1,000 kanak-kanak lagi.

Mitsutoki Shigeta, 24, berkata, dia mahu menghasilkan antara 100 dan 1,000 kanak-kanak, menurut seorang pengasas bersama sebuah pertubuhan yang menyediakan khidmat ibu tumpang di Thailand dan beberapa negara lain.

“Perkara paling baik yang boleh saya lakukan untuk dunia ini ialah meninggalkan seberapa ramai anak,” kata Mariam Kukunashvili dari Rangkaian Kehidupan Baru Global, memetik kata-kata Shigeta.

Menurut Mariam, dia enggan memperkenalkan Shigeta kepada lebih ramai ibu tumpang, sebaliknya melaporkan rancangan lelaki itu kepada kedutaan Jepun dan Interpol, lapor akhbar The Japan Times.

Polis Thai mula menyiasat Shigeta selepas bukti menunjukkan dia membawa keluar tiga bayi dari negara itu tahun lalu.

Penyiasat berkata, ujian DNA mengesahkan sembilan bayi yang ditemui di sebuah kondominium di Thailand minggu lalu juga dilahirkan mengguna spermanya.



Rangkaian Kehidupan Baru Global menyediakan khidmat ibu tumpang di Thailand, Georgia dan beberapa negara lain.

Mariam mengesahkan, pertubuhan itu memperkenalkan dua ibu tumpang kepada Shigeta.

Mereka melahirkan tiga anak, termasuk sepasang kembar, tahun lalu.

Mariam kemudian mendapat tahu lelaki Jepun itu cuba menghasilkan tiga lagi anak di tempat lain pada masa yang sama.

Menurut Mariam, dia tidak pernah menemui Shigeta, tetapi lelaki itu memberitahu pertubuhannya yang dia mahu mempunyai 10 hingga 15 anak setahun, lapor The Japan Times.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/18

No comments:

Post a Comment