Monday, August 18, 2014

Pengganas: Minta maaf kepada keluarga pejuang merdeka


HARAKAHDAILY | .

TEMERLOH: Kerajaan digesa memohon maaf kepada keluarga para pejuang kemerdekaan yang dilabel sebagai pengganas semasa menentang penjajah dahulu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, para pejuang kemerdekaan itu yang dianggap sebagai menentang kerajaan adalah tidak betul kerana mereka berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah.

"Pejuang kemerdekaan dianggap penentang kerajaan, pengganas, itu tak betul. Kerajaan patut minta maaf buat tuduhan itu," ujarnya kepada media di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, kerajaan masih belum menarik balik tanggapan dan tuduhan itu terhadap para pejuang kemerdekaan seperti Datuk Bahaman dan lain-lain di negeri ini.

Tambahnya, kerajaan perlu mengambil kira perasaan kaum keluarga dan persatuan sejarah kerana melabelkan para pejuang itu sebagai penjenayah.

"Sepatutnya kerajaan memberi penghargaan kepada mereka, bukannya cop mereka sebagai golongan kiri," ujarnya lagi.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan kepada para pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah di negara ini masih tidak mencukupi.

Lajnah Penerangan PAS Pusat dengan kerjasama PAS Pahang dan Ahli Parlimen Temerloh mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan Dan Hari Malaysia 2014 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan Malaysiaku...Minda Merdeka.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di padang awam Taman Temerloh Jaya, Sabtu lepas.

Majlis Sambutan Hari Malaysia dan penutup program Bulan Kemerdekaan 2014 akan diadakan di Miri, Sarawak pada 15 September depan.

Objektif program itu adalah merakam semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara dalam catatan yang lebih tepat dan adil, menghayati perjuangan tokoh pejuang Islam dalam menuntut kemerdekaan negara.

Ia juga untuk menyedarkan rakyat tentang peranan PAS dalam perjuangan kemerdekaan negara dan membincangkan hala tuju dan masa hadapan negara dalam kerangka kemerdekaan sebenar. -HARAKAHDAILY 18/8/2014

No comments:

Post a Comment