Monday, August 18, 2014

Menghadap: Sultan titah Khalid tunggu baginda pulang


HARAKAHDAILY | .
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dititahkan menunggu sehingga Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat pulang ke tanah air untuk menghadap baginda.
  
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata pihaknya telah menerima permohonan Abdul Khalid untuk menghadap baginda di luar negara bagi menjelaskan situasi dan perkembangan semasa politik di negeri itu serta kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.
  
"Permohonan beliau telah saya sembah maklum kepada Tuanku. Bagaimanapun, baginda telah menitahkan supaya Abdul Khalid menunggu sehingga baginda berangkat balik ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Tindakan Abdul Khalid itu dilihat susulan beliau kehilangan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Selangor selepas PAS semalam menggugurkan sokongan terhadapnya untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar.
  
Juga semalam, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang disertai PAS, PKR dan DAP memutuskan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal bagi jawatan menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.
  
Abdul Khalid dalam reaksinya selepas itu berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan terbaharu PAS dan memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik Selangor.
  
Menteri Besar itu juga dilaporkan berkata sehingga sultan membuat keputusan muktamad, beliau akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bersama empat anggota Exco daripada PAS. - Bernama

No comments:

Post a Comment