Wednesday, August 27, 2014

Ezany fail nusyuz terhadap isteri


PETALING JAYA 26 Ogos - Pelakon Ezany Nizariff mengemukakan permohonan nusyuz (derhaka atau perintah kembali taat) terhadap isterinya, Lizda Nuryanti Abidin di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling dekat sini hari ini.
Ezany atau nama sebenarnya Mohd. Zani@ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, 41, dalam sebutan pertama kes itu memaklumkan Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar, dia akan meneruskan kes itu.
Ini berikutan pada 4 Ogos lalu, Lizda Nuryanti telah mengemukakan permohonan cerai secara baik di mahkamah yang sama.
Walau bagaimanapun pada sebutan kes itu pelakon berkenaan tidak bersetuju terhadap permohonan isterinya kerana telah memfailkan permohonan nusyuz itu pada 22 Julai lalu.
Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah Lizda Nuryanti, 32, keluar dari rumah kelamin mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini bagi sebutan semula kes nusyuz iaitu serentak dengan sebutan kes permohonan cerai secara baik oleh isterinya itu.
Dalam pada itu, Ezany ketika ditemui di luar mahkamah berkata, sebutan kes permohonan nusyuz itu telah dimaklumkan kepada isterinya pada 4 Ogos lalu namun Lizda Nuryanti tidak hadir hari ini.
Dia juga berkata, telah memfailkan permohonan hadanah (penjagaan kekal) dua anaknya yang akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, esok.
Pasangan itu yang bernikah pada 1 Julai 2007 dikurniakan dua anak lelaki, Rayyan Harraz, 3, dan Hayden Harraz, 16 bulan.
Menurut Ezany, kedua-dua anaknya itu kini tinggal bersama-samanya di rumah mereka di Seri Kembangan.
Pada 17 Julai lalu, Ezany telah membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang setelah mendakwa isterinya dilarikan seorang lelaki.
Menurut Ezany dia menyedari kehilangan isterinya setelah bangun daripada tidur kira-kira pukul 4.30 pagi untuk bersahur dan mendapati pintu utama rumahnya di Seri Kembangan, Selangor tidak berkunci.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140827/ma_02/Ezany-fail-nusyuz-terhadap-isteri#ixzz3BY4ehGtc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment