
KULAI: PAS mendesak satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi menyiasat punca rusuhan 800 pekerja asing di sebuah kilang di Kulai semalam.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman berkata, jawatankuasa itu mestilah membabitkan Kementerian Sumber Manusia, kesatuan sekerja, majikan dan wakil pekerja kilang terbabit.

Menurut beliau, PAS melahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan merusuh pekerja asing yang memusnahkan harta benda seperti premis bangunan dan kenderaan.
Kejadian sekitar jam 8-10 pagi semalam itu, bermula apabila pekerja tersebut melontar batu sehingga tingkap bangunan pecah dan membakar sebuah kereta.
Ia disusuli lebih agresif, apabila ada pekerja membakar aset kilang di sebelah belakang bangunan di sebelah malam.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, PAS mengucapkan setinggi penghargaan dengan tindakan pantas polis termasuk pasukan FRU serta bomba yang berjaya mengawal suasana dan memadam kebakaran.

Mazlan berkata, beliau dimaklumkan tindakan pekerja dibuat ekoran tidak puas hati mereka dengan gaji yang diberikan.
Menurutnya, pihak pengurusan kilang dikatakan sesuka hati memotong gaji pekerja, memaki hamun dan memukul pekerja.
Selain dari faktor gaji, tindakan lewat pihak pengurusan kilang menghantar seorang rakan pekerja ke hospital sehingga meninggal dunia juga turut mengundang kemarahan pekerja asing tersebut.
Katanya, isu kebajikan pekerja telah lama berkumandang separti isu gaji yang tertunggak dan rendah, kediaman yang daif dan berbagai isu yang berkaitan selalunya menjadi ribut yang akhirnya tidak terkawal.

Ianya termasuk kes pekerja tidak dibenarkan solat jumaat, skim gaji yang berbeza dan proses kenaikan pangkat menjadi isu yang turut menimbulkan suasana tidak harmoni.
"Harus di ingat, sumbangan pekerja asing sebagai guna tenaga di negara ini sangat tinggi. Jangan diremehkan soal kebajikan mereka.
"Insiden terbaru ini bukan sahaja merosakkan hubungan pekerja dengan majikan yang tentu sahaja menjejaskan produktiviti, nama baik Malaysia di mata dunia juga dipersoalkan," jelasnya.
- HARAKAHDAILY 27/8/2014
No comments:
Post a Comment