Wednesday, August 27, 2014

Mengaku tidak bersalah menghasut kuasa MAIS


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengeluarkan pernyataan menghasut berhubung kuasa Majlis Agama Islam Selagor (MAIS) dan kuasa eksekutif institusi raja, pertengahan Jun lalu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi 17 Jun lalu ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen di sini.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Yang Dipertua Pas Cawangan Shah Alam itu juga berkemungkinan dipenjarakan tidak lebih lima tahun sekiranya, kesalahan kali ini merupakan sabitan kali kedua.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamed Hanipa Maidin.
Suhaimi mencadangkan agar jaminan RM5,000 dikenakan ke atas Khalid namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa.
Peguam terbabit menyatakan, anak guamnya telah memberikan kerjasama malah hadir sendiri ke mahkamah. Beliau memohon agar ikat jamin RM3,000 dikenakan ke atas anak guamnya itu.
Hakim Azwarnida Affandi selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menetapkan wang jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 September ini bagi membolehkan segala dokumen berkaitan dapat diserahkan kepada pembelaan.
Walaupun suasana sewaktu Khalid didakwa agak bising dengan suara-suara nakal rakan tertuduh, namun keadaan bertukar tegang selepas jaminan pemimpin pembangkang itu selesai dibayar, kira-kira dua jam selepas tertuduh didakwa di mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140827/ma_03/Mengaku-tidak-bersalah-menghasut-kuasa-MAIS#ixzz3BY4kRybP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment