Wednesday, August 27, 2014

Sistem intip telefon bimbit boleh dibeli mana-mana negara



AFP
SEORANG lelaki menggunakan telefon bimbit di hadapan papan elektronik yang memaparkan harga pasaran saham di Tokyo, Jepun baru-baru ini.


WASHINGTON - Pengeluar sistem pengintipan menawarkan kepada kerajaan di seluruh dunia aplikasi yang berupaya mengesan pergerakan pengguna telefon bimbit tanpa mengira jarak dan lokasi mereka.
Teknologi itu berfungsi dengan mengeksploitasi sistem operasi telefon bimbit.
Akhbar Washington Post melaporkan kelmarin bahawa syarikat pembekal perkhidmatan telefon bimbit perlu menyimpan rekod terkini lokasi pelanggan bagi menghubungkan panggilan dan menyediakan perkhidmatan lain kepada mereka.
Beberapa pakar teknologi pengintipan berkata, aplikasi itu menggodam data berkenaan secara rahsia untuk memetakan pergerakan sasaran selama beberapa hari, minggu atau melibatkan tempoh lebih lama.
Sistem pengintipan telefon bimbit kini diguna pakai oleh agensi-agensi perisikan paling berkuasa di dunia seperti Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) dan GCHQ di Britain.
Namun, pakar-pakar memberitahu, mereka bimbang sistem baharu itu memberikan keupayaan serupa kepada kerajaan yang mempunyai teknologi kurang canggih atau pihak ketiga asalkan mereka mampu membelinya.
Pemilik aplikasi itu cuma perlu menaip nombor telefon sasaran ke dalam portal komputer yang kemudian bertindak mengumpulkan maklumat nombor berkenaan daripada pangkalan data syarikat pembekal perkhidmatan telefon bimbit.
Menerusi cara ini, sistem pengintipan itu dapat mengesan menara telekomunikasi yang digunakan oleh sasaran sekali gus mendedahkan lokasinya sama ada pada jarak beberapa ratus meter di kawasan bandar atau sejauh beberapa kilometer di pedalaman.
Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan kerajaan mana yang menggunakan sistem pengintipan dan pengesanan tersebut tetapi seorang pegawai industri berkata, berpuluh-puluh negara telah membeli aplikasi itu sejak beberapa tahun lalu.
"Mana-mana pemerintah yang memiliki wang mencukupi boleh membeli sistem ini untuk mengintip sesiapa sahaja di seluruh dunia," kata Penolong Pengarah kumpulan aktivis Privacy International, Eric King.
Kumpulan aktivis berkenaan giat memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung penyalahgunaan teknologi pemantauan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3BXqdX4dk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment